
GERIK: Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dikerah membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki yang dilaporkan hilang di laluan Trans GBB, hari ini.
Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, seramai lapan anggota STORM bersama lima Malim Bomba digerakkan menggunakan tiga bot dari Jeti Trojan, Gerik menuju ke Pos Kemar.
Menurutnya, pasukan berkenaan dihantar bagi membantu usaha mengesan kesemua enam individu yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian melalui laluan berkenaan.
“Pada masa sekarang mesyuarat antara agensi masih berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi merancang gerak kerja untuk menggerakkan pasukan penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat bagi mengesan enam mangsa yang masih hilang,” katanya.
Beliau berkata, bilik operasi SAR turut dibuka di Gerik bagi menyelaras gerak kerja antara agensi yang terbabit dalam operasi berkenaan.
Pos Kawalan Hadapan (PKH) turut ditubuhkan di Pos Kemar bagi memudahkan penyelarasan operasi di lapangan.
Pusat kawalan operasi pula dirancang untuk ditempatkan sama ada di IPD Gerik atau Balai Bomba Gerik.
Seramai 12 Malim Gunung Perhutanan (MGP) bergerak dari Sungai Siput ke Pos Kemar menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Perjalanan pasukan MGP berkenaan dijangka mengambil masa empat jam sebelum mereka tiba di lokasi.
Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM yang tiba pagi tadi turut berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan sekiranya diperlukan dalam operasi SAR.
Sayani berkata, Unit Udara JBPM pula dijadual bergerak dari Bertam pada jam 2 petang ini bagi menjalankan tinjauan udara.
Tinjauan berkenaan akan dimulakan dari lokasi terakhir mangsa dilihat atau ditemui pada 1 September lalu sebelum diteruskan ke arah Pos Kemar.
Operasi SAR itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), JBPM, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasukan MGP.
Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dikenal pasti sebagai antara enam individu yang dikhuatiri hilang selepas hubungan dengan kumpulan berkenaan terputus ketika mendaki Gunung Trans Gerah di Gua Musang.
Kumpulan terbabit membabitkan empat beranak dari Selangor bersama dua malim gunung yang memulakan pendakian dari Gua Musang pada 29 Ogos lalu.
Mereka sepatutnya tiba di Pos Kemar, Perak pada Khamis lalu, namun gagal dikesan sehingga mencetuskan operasi SAR.






