
Mekah: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi membangunkan perkhidmatan untuk jemaah haji dan umrah.
Kementerian itu menggunakan data bagi menghasilkan analisis, pandangan serta ramalan yang menyokong perancangan dan pembuatan keputusan. Ia turut menyediakan penyelesaian pintar untuk mengurus pergerakan serta aliran jemaah, sekali gus membantu melancarkan perjalanan dan meningkatkan pengalaman mereka.
Usaha berkenaan selaras dengan komitmen kepimpinan Arab Saudi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah, selain menyokong matlamat Saudi Vision 2030 dan Program Pengalaman Jemaah (PEP).
Menurut laporan The Saudi Press Agency (SPA), Kementerian Haji dan Umrah berusaha memaksimumkan nilai strategik data menerusi penggunaan analitik lanjutan, AI dan pengecaman corak.
Kata laporan itu, kajian turut dijalankan terhadap trend haji dan umrah, tingkah laku serta pilihan jemaah haji dan umrah selain aspek penawaran dan permintaan.
“Analitik ramalan turut digunakan bagi menjangka tarikh ketibaan dan keberangkatan jemaah, tempoh penginapan serta trend berkaitan bagi menyokong perancangan dan persediaan lebih awal.
“Dari aspek operasi, kementerian menggunakan algoritma canggih untuk menganalisis dan mengurus aliran pergerakan jemaah serta meramalkan tempoh kemuncak.
“Pergerakan bas turut dianalisis bagi mengoptimumkan laluan pengangkutan antara tempat-tempat suci, sekali gus meningkatkan kecekapan pergerakan dan pengangkutan serta menyokong pembuatan keputusan operasi sepanjang musim haji,” kata laporan berkenaan.
Jelas SPA, bagi perkhidmatan yang disediakan secara langsung kepada jemaah haji dan umrah, Nusuk AI menawarkan maklumat dan panduan berkaitan ibadah haji, umrah serta ziarah, selain menjawab pertanyaan pengguna.
Katanya, perkhidmatan berkenaan menyokong lebih 180 bahasa dan dilengkapi fungsi interaksi suara. Sejak dilancarkan, Nusuk AI telah digunakan lebih dua juta pengguna, termasuk 393,000 pengguna dalam tempoh sebulan lalu.
“Kementerian itu turut menyediakan perkhidmatan Digital Mutawwif menerusi aplikasi Nusuk. Pembantu berasaskan AI itu membantu jemaah ketika melaksanakan ibadah dengan menggunakan teknologi AI spatial untuk memahami lokasi, pergerakan dan konteks perjalanan mereka secara masa nyata.
“Ia membimbing jemaah memilih laluan dan tingkat yang sesuai, selain mengira secara automatik bilangan pusingan tawaf dan saie.
“Perkhidmatan berkenaan turut menyediakan panduan serta doa yang berkaitan pada setiap peringkat ibadah. Ia merekodkan lebih dua juta penggunaan dalam tempoh sebulan oleh lebih 1.4 juta penerima manfaat,” ujar SPA.
Baru-baru ini, Kementerian Haji dan Umrah menerima AI Ethics Seal daripada Saudi Data and Artificial Intelligence Authority (SDAIA) bagi perkhidmatan Nusuk AI.
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen kementerian terhadap penggunaan teknologi pintar secara bertanggungjawab dan boleh dipercayai, selain usaha memanfaatkan AI untuk meningkatkan perkhidmatan serta menyokong proses pembuatan keputusan.
Langkah berkenaan sekali gus menyumbang kepada pengalaman ibadah yang lebih pintar, cekap dan proaktif untuk jemaah haji dan umrah. – The Saudi Press Agency (SPA)






