
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memberi keutamaan kepada kebajikan bakal jemaah haji apabila mengekalkan bayaran haji bagi kumpulan B40 pada RM15,000 seorang bagi musim haji 1448H/2027M, walaupun kos keseluruhan haji Muassasah kekal RM33,300.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu menjadikan kos haji Muassasah kekal pada kadar sama untuk tahun keempat berturut-turut.
Katanya, ia sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Madani bersama Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan secara mampan dan saksama.
“Bagi tahun kelima berturut-turut, kerajaan turut meneruskan bantuan RM1,000 kepada setiap bakal haji kumpulan B40 yang menunaikan haji buat kali pertama.
“Menerusi struktur bantuan berkenaan, Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) bagi jemaah B40 termasuk bantuan kerajaan RM1,000 dikekalkan pada RM18,300, bersamaan 55 peratus daripada kos keseluruhan haji,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Sementara itu, beliau menambah, bayaran bagi jemaah M40 ditetapkan RM23,500 dengan HAFIS sebanyak RM9,800 atau 29 peratus daripada kos keseluruhan, manakala jemaah T20 perlu menjelaskan kos penuh RM33,300.
Secara keseluruhan, katanya, TH memperuntukkan RM234 juta bagi menanggung HAFIS secara bersasar bagi musim haji 1448H/2027M.
“Keputusan mengekalkan struktur bayaran itu dibuat ketika industri perkhidmatan haji berdepan tekanan inflasi serta kesan konflik geopolitik di Asia Barat yang berpotensi memberi tekanan kepada kos operasi.
“Bagaimanapun, TH berjaya memantau dan mengawal kenaikan kos menerusi tadbir urus serta pengurusan yang cekap tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada jemaah,” ujarnya.
Zulkifli menjelaskan, kecekapan penyampaian perkhidmatan haji Malaysia turut mendapat pengiktirafan apabila negara memenangi Labbaytum Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 2026.
Beliau berkata, kerajaan bersama TH akan terus memantau struktur kos haji dari semasa ke semasa dengan mengambil kira perubahan persekitaran global bagi memastikan kebajikan dan kelancaran urusan duyufurrahman sentiasa terpelihara.
“Dalam perkembangan sama, persiapan awal bagi musim haji 1448H/2027M sudah dimulakan, dengan surat tawaran haji dijangka dikeluarkan secara berperingkat mulai bulan ini.
“Bakal jemaah yang menerima tawaran dinasihatkan membuat persediaan awal merangkumi aspek kesihatan, kewangan dan penguasaan ilmu berkaitan ibadah haji selaras dengan konsep istito’ah,” katanya.
Kerajaan juga yakin hubungan erat antara Malaysia, TH dan Kerajaan Arab Saudi akan terus memperkukuh kerjasama strategik serta memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan haji terbaik dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia.





