
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada perkara yang dekat dengan kehidupan rakyat: bekalan air yang lebih terjamin, risiko banjir yang lebih rendah serta penggunaan tenaga yang lebih cekap dan bersih.
Air terjamin, risiko banjir dikurangkan
- Enam (6) projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM336 juta telah siap, manakala 82 projek sedang dilaksanakan mengikut jadual dan projek baharu 2027. Ia merangkumi RTB Bandaraya Kuching Fasa 2, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan serta PLSB Sungai Kemaman di Terengganu.
- Banjir dan Bekalan Air Kelantan: Projek Empangan Lebir berpotensi mengurangkan risiko banjir kepada 320,000 penduduk serta membekalkan 337 juta liter air mentah sehari kepada 353,222 penduduk, di samping pembinaan Loji Rawatan Air Machang dan penggantian paip uzur bagi meningkatkan bekalan air di Kelantan.
- Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kuala Terengganu.
- Bekalan Air Perak dan Pulau Pinang: Perjanjian Bekalan Air Pukal antara Perak dan Pulau Pinang dimeterai bagi tempoh 40 tahun.
- Capaian air bersih melalui Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) Fasa 2 bernilai RM2.5 bilion dilaksanakan untuk menggantikan 1,900 kilometer paip kritikal yang usang.
- Sistem pembetungan awam yang usang akan dinaik taraf segera di Pulau Tuba, Pulau Langkawi, Pulau Redang dan Pulau Tioman.
Kos utiliti lebih terkawal, tenaga bersih diperkasa
- Kerajaan menaikkan aras perlindungan bil elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWh) kepada 800 kWh sebulan, yang memberi manfaat lebih 8 juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik.
- Kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan Sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta di Sabah.
- Projek Talian Penghantaran Southern Link diteruskan sebagai ikhtiar jangka panjang kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.
- Pelaburan RM1.5 bilion diperuntukkan bagi pembangunan taman solar bangunan Kerajaan, manakala 150 MW melalui projek Large Scale Solar (LSS) 6 dikhususkan kepada syarikat Bumiputera.
- Pelaburan dan Kecekapan Tenaga: TNB melabur RM15 bilion untuk memperkukuh grid nasional, UEM Lestra diperuntuk RM1 bilion meliputi pelaksanaan projek penyimpanan tenaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan projek tenaga hibrid berkapasiti 1 gigawatt di Johor. Sementara itu, Dana Iklim KWAP RM1 bilion bagi projek hijau, manakala NUR
MADANI menawarkan rebat sehingga RM200 untuk pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga. - Penglibatan PETRONAS dan TNB dalam ASEAN Power Grid memperkukuh keterjaminan tenaga serta kerjasama dan keterhubungan serantau.
- TNB dan syarikat telekomunikasi akan bekerjasama dengan Kerajaan melalui penyatuan dana Kerajaan dan CSR bagi mempercepat penyediaan bekalan elektrik desa serta ketersambungan internet.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diperuntukkan sejumlah RM5.33 bilion akan terus memperkukuh infrastruktur air dan tenaga supaya perkhidmatan asas lebih berdaya tahan, penggunaan tenaga lebih cekap dan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh rakyat.






