
KUALA LUMPUR: Diaspora Melayu di seluruh dunia berpotensi menjadi aset penting diplomasi budaya Malaysia dalam memperluas pengaruh bahasa, seni, adat dan warisan Melayu merentasi sempadan negara.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, diaspora Melayu perlu dilihat bukan sekadar berdasarkan identiti etnik tetapi sebahagian daripada warisan peradaban Alam Melayu yang berkembang melalui jaringan perdagangan, pelayaran, bahasa, agama dan kebudayaan.
“Usaha memperkukuh penyelidikan serta dokumentasi diaspora Melayu merupakan antara perkara diketengahkan menerusi Seminar Antarabangsa Melayu Diaspora 2026 ini.
“Seminar berkenaan bertujuan memperkukuh penyelidikan dan pertukaran ilmu mengenai sejarah diaspora Melayu, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta memperkasa pemeliharaan bahasa, seni, adat dan warisan Melayu untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Melayu Diaspora 2026 di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia (JMM) di sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seminar Antarabangsa Melayu Diaspora 2026 merupakan anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama 10 institusi akademik dan pertubuhan kebudayaan dari dalam serta luar negara.

Beliau menambah, berdasarkan data International Migrant Stock 2020 oleh Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN DESA), seramai 1.86 juta rakyat Malaysia direkodkan sebagai diaspora di seluruh dunia.
Katanya, Singapura mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,132,924 orang diikuti Bangladesh (199,618), Australia (177,286), United Kingdom (78,736), Amerika Syarikat (73,947) dan Brunei Darussalam (52,628).
“Bagaimanapun, angka berkenaan merujuk kepada diaspora Malaysia secara keseluruhan dan bukan khusus kepada masyarakat Melayu.
“Dalam konteks diaspora Melayu, masyarakat berkenaan mempunyai sejarah dan komuniti yang melangkaui sempadan negara moden termasuk di Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand serta beberapa wilayah lain di dunia.
“Komuniti Melayu turut mempunyai sejarah panjang di Cocos Islands, Australia dan Cape Malay di Afrika Selatan sekali gus memperlihatkan bagaimana identiti serta warisan Melayu terus bertahan dalam persekitaran masyarakat berbeza,” ujarnya.
Di Cocos Islands, Aaron menjelaskan, komuniti Cocos-Malay di Home Island sebahagian besarnya berasal daripada pekerja Melayu yang dibawa ke kepulauan itu pada abad ke-19 untuk bekerja di ladang kelapa.
Sehingga kini, katanya, komuniti berkenaan masih mengekalkan identiti, kehidupan bermasyarakat, amalan Islam dan tradisi mereka.

“Sehubungan itu, diaspora Melayu dilihat berpotensi menjadi jambatan hubungan antara masyarakat dan negara melalui diplomasi budaya khususnya dalam memperkenalkan bahasa, seni, makanan, agama dan sejarah Melayu ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Aaron menambah, Bahasa Melayu turut diberi penekanan sebagai bahasa perpaduan yang mempunyai sejarah panjang sebagai bahasa perhubungan dan pentadbiran di Alam Melayu.
Katanya, walaupun pelbagai bahasa digunakan dalam urusan perdagangan, Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perhubungan utama, selain bahasa kebudayaan dan kesusasteraan yang digunakan di dalam serta di luar istana.

“Di Malaysia, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan menjadi antara asas pembentukan identiti negara serta penyatuan masyarakat berbilang kaum.
“Dalam usaha memelihara warisan persuratan Melayu, Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) turut melaksanakan pemuliharaan manuskrip Melayu, koleksi nadir, bahan bercetak dan sumber digital.
“Usaha pendigitalan koleksi, penyelidikan, penerbitan serta program pengembangan budaya membaca dan ilmu penting bagi memastikan khazanah persuratan Melayu bukan sahaja dipelihara, malah dapat diakses dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang,” katanya.
Seminar Antarabangsa Melayu Diaspora 2026 turut memperkukuh peranan JMM dalam penyelidikan, pengumpulan dan pemeliharaan sejarah, kebudayaan serta warisan negara.
Ia membuka ruang kerjasama lebih luas antara institusi akademik, pertubuhan kebudayaan dan komuniti Melayu di peringkat antarabangsa.





