
KOTA BHARU: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus memperkukuh komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mengurangkan risiko banjir di Kelantan menerusi pelaksanaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Komitmen tersebut diperkukuh menerusi pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu yang menyenaraikan PLSB Sungai Golok Fasa 2 sebagai antara projek baharu yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2027.
PETRA dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan projek PLSB Sungai Golok merangkumi tiga fasa utama dengan kemajuan fizikal berbeza setakat 30 September lalu.
“Fasa 1 mencatat kemajuan fizikal 73.01 peratus dan dijangka siap pada Julai 2027 manakala Fasa 2 merekodkan kemajuan 3.16 peratus dengan sasaran siap pada Oktober 2028.
“Fasa 3 pula mencapai kemajuan fizikal 24.18 peratus dan dijangka siap pada April 2029,” kata kenyataan tersebut.

Timbalan Menteri PETRA, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad bersama pegawai kanan kementerian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia turut mengadakan lawatan kerja ke tapak projek bagi meninjau kemajuan pelaksanaannya.
Bagi Fasa 1, PETRA menambah, skop pelaksanaan merangkumi pembinaan ban banjir di Sungai Golok, Sungai Lemal Lanchang dan Sungai Mentua, selain pembinaan Pintu Air Kuala Jambu, lima rumah, pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pos kawalan Batalion Mekanise Tentera Darat (MTB).
Kata kenyataan itu, Fasa 2 pula melibatkan pembinaan tembok dwifungsi bagi tujuan tebatan banjir dan keselamatan, menaik taraf ban kiri Sungai Lemal Lanchang, pembinaan pos kawalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PGA serta pembinaan rumah pam.
“Fasa 3 memberi tumpuan kepada kerja menaik taraf Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Meranti, Alor Mengkuang, Sungai Lanas, Sungai Golok dan Danau To’ Uban.
“Penyesuaian skop dan perubahan reka bentuk menjadi antara faktor yang mempengaruhi tempoh pelaksanaan serta kos projek.” jelas PETRA.

Menurut PETRA, perubahan berkenaan dibuat berdasarkan keperluan semasa dengan mengambil kira kesan perubahan iklim, keperluan infrastruktur, keadaan sebenar di tapak serta permintaan penduduk setempat.
Katanya, antara aspek yang diselaraskan termasuk pengambilan tanah, jajaran projek dan kapasiti sistem saliran bagi memastikan infrastruktur tebatan banjir yang dibangunkan bersesuaian dengan keadaan semasa serta berfungsi dengan lebih berkesan.
“Penyesuaian tersebut penting bagi memastikan projek berkenaan mampu menyediakan perlindungan banjir jangka panjang yang lebih kukuh, mampan dan selamat kepada penduduk di kawasan berisiko.
“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan dengan kerjasama JPS dan Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan isu berkaitan projek dapat ditangani secara berkesan dan bersepadu,” kata kenyataan itu.
PETRA menegaskan kementerian dan JPS komited untuk memastikan setiap peruntukan awam diurus secara berhemah, telus dan berakauntabiliti, dengan penekanan kepada kualiti pelaksanaan serta manfaat kepada rakyat.
Katanya, usaha itu akan terus diperkukuh bagi memastikan projek infrastruktur air dan pemuliharaan pesisir pantai dapat dilaksanakan secara lebih berkesan demi meningkatkan tahap perlindungan dan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menghadapi risiko banjir dan hakisan pantai.





