
KUALA LUMPUR: Selangor FC dan kelab dari Brunei DPMM FC mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA 2026 selepas melepasi halangan masing-masing pada aksi suku akhir kedua malam semalam.
Selangor FC melangkah ke pusingan seterusnya menerusi kemenangan agregat 6-4 ke atas Star City FC manakala DPMM FC menyingkirkan Kuala Lumpur City FC dengan agregat 4-3.
Selangor FC yang beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi tandukan Zikri Khalili yang menyempurnakan peluang hasil sepakan sudut.
Skuad Gergasi Merah menggandakan kelebihan pada minit ke-34 apabila Vitor Pernambuco meledak gol kedua untuk membolehkan tuan rumah mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, Star City FC bangkit pada babak kedua apabila Moses Atede merapatkan jurang pada minit ke-62 sebelum Pedro Santos menyamakan kedudukan pada minit ke-75.
Ramon Machado kemudian melengkapkan kebangkitan pasukan pelawat menerusi gol pada minit ke-90, namun kemenangan itu tidak mencukupi untuk menghalang Selangor FC daripada mara ke separuh akhir menerusi agregat 6-4.
Skuad kendalian Kim Pan Gon akan menentang Kuching City FC pada aksi separuh akhir nanti.
Dalam pada itu, DPMM FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada perlawanan suku akhir pertama di Bandar Seri Begawan.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan seawal minit ke-11 apabila penyerang DPMM FC, Jordan Murray, menyudahkan hantaran jauh Tommy Mawat Bada untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
Pada aksi separuh akhir nanti, DPMM FC bakal berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).






