
DAVOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia belum ada ‘keperluan mendesak’ untuk menggunakan tenaga nuklear kerana melihat masih banyak potensi dalam tenaga solar dan Grid Kuasa ASEAN (APG).
Namun, Anwar tidak menolak kemungkinan mengguna pakai tenaga tersebut terutamanya dengan perancangan besar dalam pembinaan pusat data di Malaysia.
“Hanya untuk memastikan, kerana penggunaan (tenaga) pusat data adalah besar dan dalam setiap mesyuarat, ada yang mencadangkan mereka mahu memasang reaktor modular kecil (SMR).
“Saya tidak mahu mengecewakan mereka kerana itu merupakan sebahagian daripada keperluan kecerdasan buatan (AI) keseluruhan, yang bermaksud bahawa pilihan nuklear itu ada.
“Saya tahu Thailand, Malaysia dan Indonesia sudah pun memulakan usaha ini dan saya berusaha untuk memastikan kami bekerjasama untuk menunjukkan bahawa kami mempunyai belanjawan yang lebih baik,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata demikian dalam taklimat media di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di sini semalam ketika ditanya sama ada Malaysia sedang menimbang untuk mempromosikan tenaga nuklear terutamanya SMR.
Anwar kini dalam lawatan kerja selama tiga hari menghadiri WEF 2025, yang merupakan penyertaan sulung beliau sejak menjadi perdana menteri pada 2022.
SMR, yang mampu menjana kira-kira 300 megawatt elektrik, boleh disepadukan ke dalam infrastruktur bangunan sedia ada atau disambungkan ke grid nasional dengan kos yang lebih kecil dan berpotensi menjadi tenaga alternatif untuk pusat data yang memerlukan kuasa berskala besar.