
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Donald Trump susulan pelantikan rasmi beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Trump bagi memperkukuhkan hubungan teguh, saling melengkapi dan melihat ke hadapan antara Malaysia dengan AS.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri turut mengundang Trump itu ke Malaysia, sekali gus mengesahkan semula pembabitan baharu AS dengan rantau ini.
“Presiden Trump membawa pendekatan unik dalam menangani cabaran domestik dan global, dibuktikan oleh peranan pentingnya dalam membantu (pelaksanaan) gencatan senjata di Gaza, malah sebelum pelantikan rasmi beliau dilakukan.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam keutamaan bersama tatkala pentadbiran Trump berusaha melakar zaman kegemilangan baharu bagi Amerika,” kata Anwar dalam catatan melalui Facebook beliau, semalam.
Trump mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Presiden AS pada Isnin lalu.