Cacat penglihatan: Dinie, Khai dedah apa yang berlaku
“KAMI bukan hilang penglihatan sejak lahir tetapi sudah boleh melihat dunia barulah nikmat itu ditarik,” ungkap Dinie yang setia bersama Khai dalam satu pertemuan beberapa minggu yang lalu.
Bagi yang tidak mengenali, mereka berdua merupakan penyanyi baharu yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) masalah penglihatan yang popular dengan lagu Tanpamu.
Kata Dinie, dia sama seperti insan lain yang boleh melihat dunia satu ketika dahulu. Cuma, ketika berusia sembilan tahun penglihatannya mula kabur sedikit demi sedikit sehingga menjejaskan pelajaran.
Tatkala dibawa ke rumah sakit, tiada apa yang dapat dilakukan. Dibawa ke pakar mata sekalipun, jawapan yang diterima tetap sama; kes yang berlaku kepadanya sukar untuk dipulihkan meski sudah dirujuk ke luar negara.
Sudahnya keluarga diminta reda dan menerima ketentuan Tuhan sedangkan jiwanya semakin memberontak ketika meniti usia remaja. Jika orang lain melepak dan merempit, dia juga mahu melakukan hal yang sama.
Namun kekangan penglihatan yang tinggal 20 peratus sahaja membuatkan dia terpaksa menerima hakikat yang sudah bergelar OKU dengan hati yang terbuka.
Berbeza juga dengan Khai yang melalui kisah yang lebih tragis. Dia hilang penglihatan sebelah matanya kerana terkena bola ragbi ketika berusia 17 tahun. Matanya bukan sahaja berdarah malah tidak dapat diselamatkan lagi.
Saat diusung ke dalam dewan bedah, barulah dia sedar yang sebelah lagi matanya juga mengalami masalah dan perlu dibedah segera. Ada insiden berlaku di dalam dewan bedah yang cukup tragis untuk dengar.
“Bayangkan ketika pembedahan berlangsung, bius pada bahagian mata tiba-tiba habis. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya hanya berserah kepada-Nya sahaja,” tambahnya.
Empat bulan bercuti dan dia perlu menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hanya berserah kepada Tuhan, dia akhirnya berjaya bergelar antara pelajar cemerlang tahun berkenaan dan diterima masuk ke universiti.
Tidak lama berada di sana, sebelah mata yang selama ini menjadi penyambung penglihatan pula ‘bermasalah’ sehingga dia disahkan buta sepenuhnya.
Meskipun tidak lagi dapat melihat dunia, mereka berdua dikurniakan bakat menyanyi dan bermain muzik sehinggalah terhasilnya lagu Tanpamu yang kini menjadi runut bunyi untuk drama Chandelier yang kini bersiaran menerusi Astro Ria.
Pendedahan mereka berdua juga boleh disaksikan menerusi YouTube, Indigital Music yang turut bertindak sebagai pengedar lagu berkenaan.