PolitikUncategorized

APABILA ISTILAH ‘RAKYAT’ DIGADAIKAN!

Oleh : ZULKIFLEE BAKAR

SEMALAM (28 Februari) ketika parti-parti politik bersengkang mata sehingga awal pagi untuk mencari sokongan bagi membolehkan calon-calon masing-masing dipilih sebagai Perdana Menteri, saya yakin jutaan rakyat pada masa sama sedang bersengkang mata dan melangkah keluar dari rumah mencari rezeki demi sesuatu nasi.

Esok petangnya (29 Februari) ketika ahli-ahli politik menghitung jumlah sokongan yang mereka terima dan adakah calon mereka akan dipilih atau tidak, jutaan rakyat yang keluar pada awal pagi tadi menghitung berapa ringgit mereka perolehi pada hari itu.

Tetapi adakah ahli-ahli politik memikirkan semua itu. Wah! hebat sekali masing-masing mula berhujah soal memperjuangkan nasib rakyat, mahu mempertahankan mandat rakyat, benci kepada pengkhianatan dan membuat kenyataan seolah-olah mereka serta kelompok merekalah paling bersih di muka bumi Allah ini.

Percaturan dan perebutan kuasa sesama mereka menyaksikan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi orang tengah. Seri Paduka berusaha melakukan proses seadil-adil mungkin. Hari pertama, Seri Paduka memanggil seorang demi seorang ahli Parlimen untuk menyatakan siapa mereka sokong.

Apabila Seri Paduka mendapati tiada calon mendapat majoriti, Seri Paduka menitahkan pula ketua-ketua parti untuk memberikan senarai calon Perdana Menteri mereka. Akhirnya Seri Paduka memutuskan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-Lapan.

Ketika rakyat merasakan konflik itu akan berakhir dengan keputusan berkenaan, ternyata nafsu serakah politikus-politikus yang mahu berkuasa masih belum berakhir. Mereka bertungkus lumus mencari sokongan sehingga larut malam bagi `menolak’ keputusan tersebut.

Saya percaya selepas ini adegan kelompok yang kononnya mendabik dada memperjuangkan nasib rakyat, mempertahankan mandat rakyat dan benci kepada pengkhianatan akan berterusan. Entah bila akan selesai.

Tetapi bagaimana dengan rakyat? Sudah seminggu mereka disumbatkan dengan pertarungan memualkan ini. Rakyat pilih ahli politik menjadi wakil mereka di Parlimen bukan untuk bersengkang mata mencari sokongan memenangkan kelompok masing-masing! Atau mengubah Dewan Rakyat bagaikan gelanggang sarkas!.

Rakyat buat keputusan dalam pilihan raya ialah untuk mencari pasukan terbaik untuk mentadbir negara ini demi kesejahteraan mereka, tetapi apa yang rakyat dapat apabila membuat keputusan pada PRU-14? Fikirlah sendiri! Yang pasti kata-kata “memperjuangkan nasib rakyat, mempertahankan mandat rakyat dan benci kepada pengkhianatan’’ HANYALAH OMONG KOSONG!

Rakyat dapat saksikan bagaimana kedua—dua pihak melakukan percaturan dan langkah-langkah hanya untuk memenangkan kelompok masing-masing! Kalau mereka ikhlas berjuang untuk rakyat, sudah pasti pada hari pertama lagi apabila ada calon tidak mendapat majoriti, mereka akan meminta atau mengekalkan pendirian supaya Parlimen dibubarkan.

Ketika Seri Paduka bertemu seorang demi seorang kenapa tidak ada yang mendapat majoriti? ketika Seri Paduka meminta ketua parti memberi nama kenapa senarai boleh bertukar-tukar (paling menakjubkan calon pun boleh berubah dalam tempoh beberapa jam)? Dan paling seronok’ selepas proses tersebut selesai, Seri Paduka sudah pun membuat keputusan, bagaimana boleh jumlah sokongan tiba-tiba bertambah? Adakah ahli politiklompat pagar’ seumpama ini layak menjadi pemimpin atau bercakap benci kepada pengkhianatan? Saya tidak mahu membuat apa-apa spekulasi, tetapi apa yang jelas dan terbukti ialah kerakusan ahli-ahli politik memburu kuasa.

Kasihan rakyat yang memiliki sekelompok ahli-ahli politik yang begitu hebat membuat percaturan politik untuk berkuasa tetapi lintang pukang apabila diberikan kuasa manakala satu pihak lagi kini dilihat hanya mencari peluang untuk kembali berkuasa.

Mungkin apa yang saya katakan ini tidak menyenangkan, tetapi inilah diperkatakan oleh rakyat dalam media-media media sosial serta penganalisis politik yang dijemput awal-awal pagi ke studio stesen televisyen bagi mengulas kemelut yang berlaku.

Kalau benar mereka semua berjuang untuk rakyat, hentikan polemik ini dengan segera! Aneh, negara-negara lain sedang bertungkus lumus siang malam mencari jalan memerangi wabak corona virus, ahli politik kita pula bertungkus lumus sampai awal pagi berebut kuasa sesama mereka.

Tidak payahlah ada mana-mana ahli politik muncul dalam rakaman video menyatakan pendirian kononnya dia berjuang untuk rakyat kerana kamu juga salah seorang watak dalam kekalutan yang berlaku kini! Kamu tidak layak bercakap soal pengkhianatan kerana kamu sendiri antara yang terlibat mengkhianati mandat rakyat dengan tidak mendesak parti kamu melaksanakan janji-janji kepada rakyat.

Catatan ini atas kapasiti peribadi saya sebagai seorang rakyat yang sudah bosan dan muak dengan gelagat ahli politik tidak kira siapapun mereka. Saya bukanlah individu yang hebat untuk menjadi penasihat atau bekerja dengan mana-mana ahli politik yang ada kala membuat kenyataan seolah-olah dia paling pandai segala-galanya!

Saya mencatatkan semua ini kerana kasihan melihat rakyat yang kini berhadapan dengan pelbagai tekanan termasuklah kos sara hidup. Sepatutnya inilah yang menjadi keutamaan kepada ahli politik tetapi malangnya kita mempunyai ahli politik yang sanggup bersengkang mata untuk berebut kuasa, sedangkan rakyat bersengkang mati demi mencari sesuap nasi.

Saya yakin tulisan ini tidak akan memberikan kesan kepada ahli-ahli politik, tetapi sebagai rakyat, saya juga berhak bersuara kerana istilah rakyat itu sedang menjadi bagaikan barang gadaian untuk ahli-ahli politik berebut dan meraih kuasa.

Namun saya percaya ramai lagi ahli-ahli politik yang benar-benar ikhlas berjuang untuk rakyat dan rimas dengan keributan yang berlaku tetapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana tidak mahu menambahkan kekusutan dengan pertelingkahan dalaman parti pula.

Saya akhiri catatan ini dengan berpendapat, kalau kemelut ini berterusan (saya yakin akan berterusan) – pembubaran Parlimen dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat adalah penyelesaian terbaik, tetapi saya yakin ada parti politik yang tidak mahu ia berlaku kerana mereka tahu `lembah kekalahan sedang menanti’.

Justeru bertungkus lumuslah mereka cuba memastikan itu tidak berlaku dan calon mereka menjadi Perdana Menteri , biarpun tindak tanduk mereka sudah sampai ke tahap `matlamat menghalalkan cara’!

1 Mac 2020
Sebelum Fajar Menyingsing
Port Dickson

*Penulis adalah bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia dan kolumnis tetap akhbar yang ditutup pada 9 Oktober 2019 itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *