
Oleh : ZULKIFLEE BAKAR
SEMENTARA waktu ketika boleh berasa lega kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-8. Saya menggunakan perkataan `sementara’ kerana amat memahami pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak akan duduk diam. Mereka akan meneruskan agenda politik bagi membolehkan pakatan itu kembali berkuasa. Sasaran mereka ialah sidang Dewan Rakyat.
Sejak semalam agak melucukan apabila ada ada beberapa bekas menteri muncul dalam media sosial meluahkan perasaan mereka. Hebat sekali apabila mereka berhujah soal mandat rakyat yang dikhianati dan meminta maaf kerana tidak mampu menghalang kerajaan PH tumbang.
Soalnya, kenapakah baru sekarang apabila setelah tiada kuasa baru mahu bercakap soal mandat rakyat? Kenapa baru sekarang mahu minta maaf? Dan kenapakah baru sekarang berasa berat atau amat berat hati?
Adakah permintaan maaf dan rasa berat hati itu hanya berkaitan soal kekuasaan sahaja? Kenapa tidak minta maaf dan berat hati apabila mandat diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak dilaksanakan? Kenapa tidak minta maaf dan berat hati apabila manifesto tidak ditunaikan?
Kenapa tidak berasa berat hati dan minta maaf apabila sekutu kalian dilihat terlalu berkuasa sehingga menyinggung perasaan orang Melayu tetapi kalian hanya bersikap seperti `ayam berak kapur’ sahaja?
Kenapakah tidak berasa berat hati atau minta maaf apabila para menteri gagal melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna tetapi lebih berperangai kebudak-budakkan dalam media-media sosial? Bukankah kalian juga adalah anggota Kabinet?
Kalau betul berjiwa rakyat dan berjuang untuk rakyat sepatutnya apabila pakatan kalian tidak menunaikan janji dalam manifesto atas alasan ia `bukan kitab suci’, kalian sepatutnya menegur perkara itu dengan lantang dalam Kabinet dan menegaskan rela meletakkan jawatan atau dipecat kerana membangkitkan perkara itu! Tetapi kalian tidak berbuat demikian kerana maklumlah bukan senang untuk menjdi menteri apatah lagi kalau sekadar pandai bercakap sahaja.
Menakjubkan! Kalian rela dipecat daripada parti kerana tidak mahu bekerjasama dengan pemimpin yang kalian tuduh korup, tetapi kalian tidak berbuat demikian apabila pakatan anda mengkhianati amanah rakyat. Jangan berdegar-degar bercakap soal pengkhianatan kerana menipu rakyat untuk menang pilihan raya dengan membentangkan manifesto yang kalian sendiri tahu tidak boleh ditunaikan – ITULAH PENGKHIANATAN TERBESAR!
Kenapa hanya berat hati dan minta maaf setelah kehilangan kuasa? Adakah mahu menunjukkan kononnya kalian pemimpin sejati yang memperjuang dan mandat rakyat? Tidak payahlah bersandiwara!
Sekarang bukan zaman tahun 90-an yang rakyat seperti saya hanya bergantung kepada radio dan televisyen serta suratkhabar. Sekarang zaman teknologi maklumat segala yang berlaku tersebar dalam sekelip mata sahaja, termasuk kalau ada gambar menteri panjat pagar atau tersalah tampal plaster di pipi!
Kalau benar mahu membela nasib rakyat mintalah maaf secara terbuka kerana mengkhianati mandat rakyat dalam PRU-14. Zahirkan juga perasaan berat hati dan meminta maaf kerana sepanjang kemelut politik seminggu lalu kalian juga adalah antara watak-wataknya termasuk sekejap sokong Si A, sekejab sokong Si B, selepas itu memadamkan posting dalam akaun media sosial.
Tolonglah cukup-cukuplah memperalatkan nama rakyat, apatah lagi baru setahun jagung dalam dunia politik. Kalau kalian betul-betul yakin selama ini sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat, letaklah jawatan beramai-ramai sebagai tanda protes dan beri laluan kepada pilihan raya kecil serentak. Kita tengok sejauh manakah sokongan yang akan diperolehi. Pasti tak berani!
Seperti juga catatan sebelum ini, apa yang saya perkatakan bukanlah bermaksud saya menyokong mana-mana pihak, saya hanya meluahkan pandangan sebagai seorang rakyat yang bosan melihat gelagat ahli politik hipokrit dan cuba tunjuk kononnya merekalah pejuang rakyat sejati, sedangkan ketika ada kuasa dan mempunyai jawatan, `mandat rakyat dicampak entah ke mana’!
2 MAC 2020
SELEPAS SUBUH
SHAH ALAM
*Penulis adalah bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia dan kolumnis tetap akhbar yang di tutup pada 9 Oktober 2019 itu.