Apakah situasi Kedah gambaran Kerajaan Pusat?


PAGI ini, Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan rasmi Dr. Mahathir dilihat memasuki perkarangan Istana Negara kira-kira pukul 11 pagi.

Selepas 70 minit pertemuan, beliau dilihat keluar dari Istana Negara tengah hari ini.

Dalam masa yang sama, di peringkat negeri Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) bagi mengekalkan kerajaan negeri sedia ada.

Keputusan tersebut dicapai selepas mereka bersetuju membentuk gabungan PH campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat negeri.

Perkembangan terbaharu itu menimbulkan persoalan, apakah situasi semasa di Kedah bakal diterapkan untuk pentadbiran Kerajaan Pusat selepas ini?

Semuanya bergantung kepada Dr. Mahathir selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Jika apa yang berlaku di Kedah, diterapkan di peringkat Pusat, maknanya, formula pemerintahan adalah PH + Bersatu.

Mungkin akan berlaku sedemikian. Apapun, kita tunggu sahaja pengumuman Dr. Mahathir.

Tetapi, bagaimana pula dengan pendirian PKR dalam perkara berkenaan selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin menyatakan hasrat menyertai Bersatu?

Dalam kesinambungan politik, semuanya boleh berlaku. Sama seperti penerimaan Bersatu terhadap bekas pemimpin UMNO.

Dua hari lalu, di peringkat Barisan Nasional (BN) dan Pas pula, kedua-dua parti itu yang membentuk Muafakat Nasional mahu Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan.

Jika formula PH + Bersatu menjadi, maka Kerajaan Pusat akan diteruskan dengan (mungkin boleh digelar) PH2.0.

Penerimaan rakyat? Kita lihat sahaja selepas ini apa kata rakyat. (Lihat sahaja komen-komen dalam media sosial nanti).

Akhirnya, terserah kepada Dr. Mahathir. Mahukan PH2.0 atau bubar sahaja Parlimen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *