
KOTA TINGGI: Seorang penebar roti canai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi pertuduhan membunuh anak saudaranya yang berusia lima tahun di Sungai Sedili Besar, minggu lalu.
Tertuduh, Abadi Mohd Yasro, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Najihah Hamidi.
Namun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Abadi didakwa membunuh Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, di Sungai Sedili Besar, pukul 8.20 pagi pada 21 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Jika tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nuraini Mohd Shapee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan tarikh pemeriksaan kesihatan di Hospital Permai Johor Bahru serta laporan forensik.
Sebelum ini, media melaporkan Puteri Nur Afiyah lemas selepas dicampak ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili.
Suspek yang dipercayai bersenjatakan parang ditahan selepas polis tiba di lokasi kejadian, manakala seorang anggota polis cedera ketika bergelut dengan suspek.






