
KUALA LUMPUR: Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan disolatkan di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini, selepas solat Asar, petang ini.
Jenazah Allahyarhamah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.
Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke kediaman keluarga di The Mines, Seri Kembangan, Selangor dari Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada 10.48 pagi tadi.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengiringi jenazah ibunya ketika meninggalkan IJN.
Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah, yang dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 1926, merupakan antara wanita Melayu terawal bergelar doktor perubatan.
Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.
Di institusi itu, beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mereka mendirikan rumah tangga pada 1956.
Selain dikenali sebagai pendamping setia Tun Dr Mahathir, Allahyarhamah turut mencurahkan jasa dalam bidang kesihatan awam, khususnya menerusi usaha memperkasakan kesihatan ibu dan kanak-kanak serta kesejahteraan masyarakat





