
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, hari ini.
Beliau menyifatkan Allahyarhamah sebagai tokoh wanita yang amat dihormati serta dekat di hati rakyat Malaysia.
“Selama puluhan tahun, kita semua menjadi saksi Allahyarhamah menjadi teman hidup Tun, berkongsi hari-hari bersama, membesarkan keluarga dan mendampingi beliau ketika memikul amanah kepada negara.
“Sukar untuk membayangkan betapa sunyinya kehilangan insan yang begitu lama berada di sisi,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Allahyarhamah turut dikenang atas khidmatnya sebagai seorang doktor serta keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.
Katanya, kelembutan, kesederhanaan dan keteguhan Allahyarhamah sepanjang hayat menjadikan beliau insan yang disayangi serta menjadi contoh teladan kepada rakyat Malaysia.
“Semoga Allah SWT mengampuni Allahyarhamah, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman.
“Saya juga mendoakan semoga Tun Dr. Mahathir serta seluruh keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat besar ini,” katanya.





