Nasional

Catatan dari pusat beli belah

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Rakyat susah cari makan, ahli politik tak sudah-sudah berlawan!

Hari ini, buat pertama kalinya sejak 18 Mac lalu, aku melangkah masuk ke sebuah pusat beli belah.

Suasana di dalam amat berbeza dengan apa yang aku pernah lihat sebelum-sebelum ini. Walaupun ada kedai yang dibuka, tetapi majoritinya masih ditutup, orang ramai yang datang pula boleh dibilang manakala jumlah kakitangan, aku yakin banyak dikurangkan.

Aku terfikir apa berlaku kepada pekerja kedai-kedai yang tidak beroperasi tersebut dan bagaimana pula kedai-kedai yang mengurangkan kakitangan akibat kekurangan pendapatan berikutan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Aku yakin hampir kesemua pusat beli belah menghadapi senario seumpama ini.

Aku percaya majoriti mereka sudah kehilangan pekerjaan atau lebih tepat lagi kehilangan punca rezeki.
Kalaulah situasi berterusan, bagaimana mereka mahu hidup? Bagaimana dengan anak-anak dan isteri mereka? Bagaimana dengan bayi mereka yang tidak tahu apa-apa dan hanya akan menangis apabila perut lapar? Apakah ibu bapanya cukup duit membeli susu atau si bapa ada kemampuan menghidangkan makanan untuk disuapkan kepada ahli keluarganya?

SEKTOR pelancongan antara sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Ramai yang kehilangan pekerjaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak tersebut.

Keluar daripada gedung beli belah tu aku terserempak pula dengan penghantar makanan yang sedang menanti pesanan pelanggan mereka siap. Kelompok ni juga ada antara mereka pernah kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi. Siang malam mereka bertungkus lumus menyusuri jalan-jalan bagi mencari rezeki sehingga ada antara mereka terkorban dalam kemalangan.

Tersentuh aku…tetapi apabila membaca berita hari ini bahawa ada ahli-ahli politik yang terus rakus mampu merebut kuasa selepas krisis politik pada Februari lalu, aku tertanya-tanya di manakah hati perut mereka ini?

Tidakkah mereka fikir tentang nasib rakyat yang dalam kesusahan? Tidakkah mereka fikirkan kesan akibat kegilaan mereka mahu menguasai Putrajaya? Cukuplah…rakyat sedang menderita. Majoriti mereka tidak tahu soal politik, malah kalau tanya siapa wakil rakyat mereka, belum tentu mereka tahu. Apa yang mereka tahu ialah setiap hari perlu mencari rezeki untuk keluarga masing-masing. Tetapi malangnya ahli politik yang kaya raya dan ada antara anak mereka bertaraf bilionair, tidak pernah memikirkan perkara ini.

Kononnya ada dasar mahu mengambil kembali mandat rakyat, mereka sedang melakukan tindakan-tindakan yang akan menyeret negara ke dalam krisis politik sekali lagi, sedangkan dahulu ketika mandat tersebut ada di tangan mereka, kita boleh lihat apa yang berlaku kepada negara.

KERATAN laporan Berita Harian mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dr. Mahathir sudahpun dipecat dari Bersatu.

Mungkin ada yang berkata, ‘’kau pun sama main politik, tulis artikel politik hampir setiap hari.” Ya! Betul…Aku akui fakta ini tetapi aku menulis kerana aku sudah bosan dan muak dengan kerenah sesetengah ahli politik yang tidak pernah puas dengan apa yang Allah berikan kepadanya.

Aku bukanlah penulis hebat malah aku bukanlah tokoh wartawan apatah lagi layak menjadi penasihat kepada mana-mana ahli politik, tetapi aku kasihan kepada rakyat yang mungkin belanja harian sesetengah ahli politik pun sudah hampir menyamai gaji mereka sebulan.

Justeru kalau ahli-ahli politik berkenaan masih ada hati perut dan belas ehsan kepada rakyat! Jangan biarkan krisis politik berlaku lagi, ia tidak ada faedahnya kepada rakyat yang sedang susah. Biarkanlah kerajaan hari ini menguruskan negara. Sama ada mereka bagus atau tidak, mereka dianggap tebuk atap bumbung, pintu belakang, depan atau masuk melalui tingkap…biar rakyat tentukan nanti dalam pilihan raya.

Lagipun sebaik manapun perancangan kita, Allah menentukan segala-galanya dan paling penting kalaulah perbuatan kita boleh mendatangkan kesengsaraan kepada insan lain…pembalasannya pasti ada.

*NOTA KAKI – Ada yang kata aku penyokong kerajaan dan ada pula yang kata aku ‘sesumpah’, terpulanglah…Tetapi yang pasti aku ‘menentang’ mana-mana ahli politik yang bersekongkol dengan ‘satu parti’ itu. Jangan marah ini juga hak aku dalam demokrasi sebagai rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *