
‘HARAMKAN terus penjualan arak di negara ini!’
Demikian penegasan yang dapat Ceritera simpulkan daripada kebanyakan komen warga internet mengenai insiden demi insiden melibatkan ‘serangan’ si pemandu mabuk sejak kebelakangan ini.
Terbaharu Isnin lalu, seorang kakitangan Alam Flora maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan.
Mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.
Sebelumnya pada 3 Mei lalu, seorang anggota polis, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.
Kejadian-kejadian terdahulu juga merekodkan perkara sama, MABUK!
Mungkin sudah sampai masanya, kerajaan mengharamkan terus penjualan arak di negara ini, seperti diperkatakan warga internet.

Entah di mana baiknya meminum arak sehingga mendatangkan kemudaratan, tidak nampak langsung. Sehingga mendatangkan kematian, perlu lagikah sekadar dikenakan denda atau penjara kepada si pemabuk?
Jika sekadar itu, begitu murah sekali nyawa kita di tangan pemabuk. Kali ini takdir menimpa Irwan Herman dan Safwan. Esok lusa?
“Rakyat dah (sudah) menyirap (geram) dengan kes pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian. PN (kerajaan Perikatan Nasional) wajib pinda undang-undang minimum 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan,” jelas seorang pengguna media sosial, Amir Zahid.
Begitu juga dengan komen Shahril Rani: “Tempat seorang pemandu mabuk menyebabkan kematian sepatutnya penghuni penjara seumur hidup.”
Sementara itu, Nasz Shaie pula menulis: “Aku impikan Malaysia yang arak diharamkan 100 peratus.”
Seorang lagi pengguna internet, Ahmad Iqram Mohamad Noor berkata: “Hati saya terbakar dan merasa geram setiap kali mendengar isu pemandu mabuk yang mengancam nyawa orang lain. Ia seakan tidak berkesudahan. Apa yang saya boleh lakukan sekarang adalah fahamkan kepada semua orang bahawa TIDAK ADA AGAMA YANG MENGANJUR PENGANUTNYA MENJADI MABUK! Kita mengharapkan agar pada suatu hari nanti penjualan arak di negara kita juga diharamkan seperti mana dadah diharamkan dan diaktakan secara ketat.”

Kerajaan PN sewajarnya mengambil tindakan segera dan bertegas. Dalam isu ini, ketepikan pendapat-pendapat atau pihak yang ‘bertindak pelik’ apabila membela ‘nasib’ si pemabuk.
Bagi kebanyakan pihak, mereka mahukan penegasan tersebut. Ramai mahu arak diharamkan di negara ini.