
KUALA LUMPUR: Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my yang bertujuan memerangi penyebaran berita palsu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Ada dalam kalangan mereka bersetuju dengan pelancaran tersebut dan ada juga yang bimbang jika ia dianggap sebagai menyekat kebebasan bersuara rakyat.
Seorang pekerja swasta, Affendi Abdul Ghaffar, 40, berkata, platform itu boleh memberi kesan positif dalam penyampaian maklumat penting kepada rakyat.
Katanya, dengan kecanggihan teknologi masa kini, saluran maklumat yang tepat penting untuk memastikan rakyat tahu situasi dan juga perkembangan semasa dalam negara.
“Penggunaan teknologi amat meluas dalam penyampaian maklumat atau berita kepada masyarakat dan ada pihak yang menyalahgunakan kemudahan itu untuk menyebar berita palsu.
“Jadi, saya rasa menerusi Chatbot Sebenarnya.my ini, rakyat boleh tahu sama ada sesuatu maklumat yang disampaikan itu sahih atau tidak.
“Sebagai rakyat, kita juga perlu bijak menilai maklumat yang disalurkan, jangan percaya bulat-bulat tanpa usul periksa kesahihannya,” katanya kepada Ceritera.
Kelmarin, Kementerian Komunikasi melancarkan Chatbot Sebenarnya.my yang bertujuan memerangi maklumat palsu dan membolehkan pengguna menyemak berita yang tidakditentusahkan dalam talian.
Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Artifical Intelligence fact-check assistant (AIFA) yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi an Multimedia Malaysia (MCMC) itu merupakan platform mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam menerusi portal https://sebenarnya.my/ dan platform WhatsApp (menerusi talian 03-86887997) yang dibangunkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Fahmid Fadzil berkata, AIFA juga berperanan meningkatkan fungsi portal Sebenarnya.my dengan tiga objektif utama.
“AIFA merupakan alat penting memperkasakan rakyat engan maklumat yang disahkan pihak berwajib dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.
“Dengan kemudahan ini, MCMC menawarkan kepada rakyat cara mudah, pantas dan boleh dipercayai untuk mengesahkan maklumat ang mereka terima atau temui dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Suhaina Ishak, 40, berkata, platform berkenaan dapat mengelakkan negara terjerumus dalam ketidakstabilan akibat penyaluran berita yang salah.
Katanya, berita palsu berisiko menyebabkan negara huru-hara sekali gus memberi kesan terhadap pelbagai aspek penting seperti ekonomi, politik dan sosial.
“Selepas ini, rakyat boleh periksa sesuatu maklumat itu menggunakan Chatbot Sebenarnya.my. Jika sahih, tidak salah kalau kita sebarkan dan jika tidak, kita kena jadi rakyat yang bertanggungjawab.
“Maklumat atau berita yang salah boleh sebabkan rakyat merusuh, negara terjejas dan hal itu amat bahaya, jadi gunakan platform tersebut sebaik mungkin untuk mendidik masyarakat mengenai penyaluran maklumat yang betul,” ujarnya.
Bagi Dzulhanafi Asril pula, dia tidak mahu orang ramai beranggapan platform Chatbot Sebenarnya.my itu sebagai sekatan untuk rakyat bebas bersuara.
“Apa guna jika kita sebar berita yang tidak benar kepada masyarakat yang akhirnya boleh menjejaskan negara.
“Saya rasa kerajaan tidak menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat yang sahih.
“Kebebasan bersuara itu juga termasuklah menyebarkan maklumat yang betul dan berguna untuk masyarakat,” katanya.