
SEPANG: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) memberikan peluang kepada seramai 150 jemaah terkandas yang menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan baru-baru ini, untuk menunaikan umrah bersama.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu semua jemaah berkenaan kerana bersimpati dan sedih dengan apa terjadi kepada mereka yang sudah lama merancang menunaikan umrah bersama ahli keluarga.
“Kami juga amat terkesan dengan perkara ini dan kami telah didatangi salah seorang wakil dari jemaah-jemaah terkandas serta meminta bantuan dari Andalusia Travel kerana mereka ada yang datang dari kampung untuk pergi menunaikan umrah.
“Justeru itu, kami menawarkan harga khas bermula RM6,215 seorang iaitu kira-kira 30 peratus diskaun berbanding harga asal sekitar RM7,980 dengan tarikh penerbangan pada Januari, Februari dan April ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghantar 30 jemaah terbabit yang juga kumpulan pertama bagi pakej khas itu di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), di sini, malam tadi.
Md Daud berkata, ada di antara jemaah yang terkandas itu juga mendapat tawaran harga serendah RM5,200 seorang yang sepatutnya terbang pada 14 Januari.
“Mengikut harga asal, tiada pakej dapat ditawarkan kurang daripada RM6,000 tetapi kami tawarkan harga khas ini kepada mereka yang benar-benar dalam kesulitan sama seperti kami pernah membantu golongan asnaf.
“Pakej ini membabitkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan masuk ke Makkah membabitkan tempoh 13 hari.
“Malah, semua jemaah ini juga akan diberikan pakej percutian di Taif seperti mana-mana individu yang menunaikan umrah dengan Andalusia,” katanya.
Mengenai kegiatan penipuan haji dan umrah, Md Daud hairan mengapa perkara itu boleh berlaku sedangkan ia membabitkan soal ibadah dan agama.
“Saya pernah mencadangkan usul supaya Jabatan Agama Islam Negeri mengadakan khutbah Jumaat sekurang-kurangnya dua ke tiga kali setahun mengenai penipuan haji dan umrah.
“Ini bagi memberi maklumat serta kesedaran kepada orang ramai supaya memilih agensi pelancongan yang mempunyai lesen dan latar belakang kukuh bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.