
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akui kepentinggan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan blockchain dalam membanteras rasuah dan membantu siasatan.
Katanya, revolusi perkembangan teknologi dari semasa ke semasa turut membawa cabaran baharu dalam menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks seperti jenayah siber, penipuan mata wang kripto dan penyalahgunaan AI.
“AI menjadikan kegiatan jenayah ini semakin canggih, sukar di jejak serta sering bersifat transnasional.
“Bagaimanapun, kemajuan teknologi ini boleh dimanfaatkan dengan penggunaan AI daripada aspek analitik data serta teknologi blockchain,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Ke-3 Dalam Teknologi, Kemanusiaan dan Pengurusan (ICTHM) 2025, di Zikura International College, Maldives.
Tambah Azam, penggunaan kedua-dua teknologi ini dapat mengesan corak penipuan dan ketidakaturan kewangan selain penggunaan sistem e-pentadbiran yang boleh mengurangkan rasuah.
Dalam perkembangan sama, pegawai SPRM turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan forensik terkini yang canggih dan diberikan latihan khususnya Bahagian Forensik Teknologi (BFT) dan Bahagian Analisa Kewangan (BAK).
“Atas faktor ini, SPRM turut mengintegrasikan teknologi ini di dalam operasi dan siasatan untuk terus berada terkehadapan dalam menghadapi taktik jenayah rasuah yang berkembang ini agar usaha memerangi rasuah kekal berkesan.” katanya.