KUALA LUMPUR : Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan melengahkan pengeluaran prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE) sebagai tidak berasas.
Dalam satu kenyataan, Nik Nazmi berkata SOP Perlombongan REE di Malaysia merangkumi panduan lengkap dari sudut teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan disediakan dan diedarkan kepada semua kerajaan negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023.
“SOP yang dimaksudkan adalah dokumen rujukan menyeluruh berasaskan perundangan sedia ada. Ia telah disusun untuk membolehkan kerajaan negeri menyesuaikan pelaksanaannya mengikut undang-undang negeri masing-masing.
“Sehubungan dengan itu, sebarang kelewatan atau kekangan pada peringkat negeri tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan merujuk dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor seolah-olah berlaku kelewatan disengajakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengeluarkan SOP bagi perlombongan REE, dengan niat menghalang kemajuan negeri-negeri di bawah Perikatan Nasional (SG4).
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata kementeriannya menegaskan sebarang aktiviti perlombongan REE dilarang di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan kawasan rizab perlindungan.
“Bagaimanapun, aktiviti di kawasan lain masih boleh diteruskan, tertakluk kepada pematuhan dasar, akta dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangansama, beliau menyatakan aktiviti eksplorasi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Sebagai contoh, di Kedah, ia telah termaktub dalam Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah.
“Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dibangkitkan seakan-akan tiada garis panduan yang wujud,” katanya.
