KUALA LUMPUR: Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) menjalin kerjasama strategik dengan Management and Science University Sdn Bhd (MSU) melalui memorandum persefahaman (MoU) yang menyediakan penyelesaian kewangan kepada warga kerja institusi pengajian tersebut.
Sebagai rakan kewangan pilihan MSU, Affin Islamic menawarkan akses eksklusif kepada Pembiayaan Peribadi-i pada kadar istimewa kepada warga kerja, disokong oleh Pembiayaan Rujukan Pembiayaan Peribadi yang dilancarkan pada November tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Datuk Paduka Syed Mashafuddin berkata, bank itu komited menyediakan penyelesaian kewangan yang memberi impak positif.
“Kerjasama kami dengan MSU mencerminkan komitmen kami untuk memperkasa masyarakat sambal menegakkan prinsip perbankan Islam.
“Dengan menawarkan pembiayaan eksklusif kepada warga kerja MSU, kami bukan sahaja menyokong kesejahteraan kewangan mereka, malah memupuk hubungan jangka panjang yang mendorong perubahan positif.
“Inisiatif ini selaras dengan teras ‘Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan’ dalam Pelan Strategik AX28 kami,” katanya.
Terdahulu, MoU tersebut ditandatangani oleh Syed Mashafuddin dan Naib Presiden Kanan, Endowmen & Komunikasi MSU, Datuk Rosli BYusof.
Kerjasama ini mengukuhkan komitmen Affin Islamic dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan patuh Syariah yang direka khusus mengikut keperluan para profesional.
MSU sebuah institusi yang diiktiraf di peringkat global dan tersenarai dalam pelbagai ranking, sentiasa memperjuangkan pembangunan modal insan secara holistik.
