
KUALA LUMPUR: Rapid KL akan melanjutkan tempoh operasi rel di sekitar Lembah Klang bermula 23 hingga 27 Mei ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Prasarana Malaysia Berhad memaklumkan, waktu puncak perkhidmatan rel pada hari bekerja dilanjutkan satu jam lebih awal berbanding hari biasa.
“Waktu puncak baharu itu ditetapkan mulai pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi dan pukul 4.30 petang hingga 8 malam, berbanding waktu puncak biasa iaitu pukul 7 pagi hingga 9.30 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.
“Kekerapan operasi tren pada Sabtu dan Ahad iaitu 25 dan 25 Mei turut dipertingkatkan bagi menampung bilangan penumpang yang dijangka bertambah pada minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, bagi laluan Ampang/Sri Petaling, tren akan beroperasi setiap empat minit, berbanding lima minit hari biasa.
Tren laluan Kelana Jaya akan tiba setiap lima minit berbanding tujuh minit serta laluan Monorel, Kajang dan Putrajaya akan tiba setiap lapan minit berbanding 10 minit hari biasa.
Seramai 400 kakitangan tambahan turut ditempatkan di stesen rel terpilih bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang sepanjang tempoh terbabit.
Sementara itu, beberapa laluan bas dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand dijangka mengalami kelewatan susulan penutupan jalan secara berperingkat oleh pihak berkuasa di lokasi terbabit.
Antara laluan yang dijangka terkesan termasuk Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri), 302 (LRT Titiwangsa – KLCC), 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang) serta Rapid KL On-Demand yang membabitkan Zon Titiwangsa ke Chow Kit.
Pihaknya menyarankan penumpang supaya merancang perjalanan lebih awal serta memantau notifikasi terkini melalui media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi PULSE.
Orang ramai juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan ke kawasan tumpuan dan membantu melancarkan trafik sepanjang tempoh persidangan serta acara berskala besar di ibu negara.






