
OLYMPUS DIGITAL CAMERA
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaik taraf kawasan gerai penjaja sekitar Jalan Masjid India di ibu kota ini secara berperingkat sebagai langkah meningkatkan keindahan, kebersihan dan daya tarikan ke kawasan itu.
DBKL menerusi kenyataan memaklumkan, naik taraf ini akan dilaksanakan melalui program Lestari Niaga secara berperingkat untuk memastikan pelaksanaannya tidak mengganggu aktiviti perniagaan sedia ada di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Di kawasan Jalan Masjid India, ada beberapa kategori lokasi perniagaan, antaranya adalah pusat penjaja berbumbung seperti di Jalan Melayu, Medan Bunus, Segi 3 Bunus serta ruang tepi jalan di sekitar kawasan Masjid India.
“Antara projek utama yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ialah penyusunan semula peniaga di Jalan Melayu serta penyediaan gerai baharu yang lebih sistematik untuk para penjaja di lokasi terbabit.
“Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada penyediaan lokasi perniagaan sementara untuk para peniaga yang terbabit bagi memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka semasa kerja-kerja naik taraf dijalankan,” katanya.
DBKL berkata, selepas kerja naik taraf itu selesai, kawasan gerai penjaja di sekitar Jalan Melayu dan Jalan Masjid India akan tampil dengan wajah baharu yang lebih menarik, bersih, dan teratur.
“Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan keindahan ruang bandar, menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong, serta memberi manfaat kepada para peniaga dan komuniti setempat.
“DBKL akan terus memantau pelaksanaan projek ini dengan teliti dan bekerjasama rapat dengan semua pihak yang terbabit bagi memastikan matlamat pembangunan ini tercapai,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi DBKL meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di Jalan Masjid India.
Anwar berkata, deretan kedai dan gerai termasuk yang telah bertapak sekian lama di kawasan berkenaan adalah kawasan tarikan utama pelancong di ibu kota yang perlu diambil perhatian.