
PUTRAJAYA: Kempen Pembayaran Tanpa Tunai dan Cek Peringkat Nasional Siri Ke-4 (Cashless Boleh 4.0) merekodkan sebanyak 138,817,425 transaksi tanpa tunai, yang berlangsung pada 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, transaksi yang direkodkan itu meliputi 86 peratus daripada 20 agensi kerajaan yang terlibat secara agregat.
“Melangkah ke Cashless Boleh 5.0, saya berbesar hati memaklumkan penglibatan tambahan lebih 80 agensi persekutuan dalam kempen ini pada 2025.
“Ini adalah satu langkah penting bagi memperkukuhkan ekosistem pembayaran tanpa tunai negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kempen Cashless Boleh 4.0 dan Peluncuran Kempen Cashless Boleh 5.0 di sini hari ini.
Kempen Cashless Boleh merupakan kerjasama tahunan antara Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Kementerian Kewangan (MOF) bertujuan mempercepat penerimaan pembayaran digital dalam sektor awam Malaysia.
Ia juga bertujuan menggalakkan rakyat untuk menggunakan kaedah pembayaran elektronik seperti MyDebit, FPX, JomPAY, DirectDebit dan DuitNow QR apabila berurusan dengan agensi kerajaan.
Hui Ying berkata, Kempen Cashless Boleh itu merupakan inisiatif yang mempunyai impak yang besar ke arah transformasi digitalisasi kewangan Malaysia selain bertujuan menaik taraf infrastruktur digital negara serta mencapai standard yang cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Melalui peningkatan keselamatan dan kecekapan dalam transaksi kewangan, hasil daripada keberkesanan kempen ini, kita dapat memodenkan sektor awam bagi menyediakan perkhidmatan kerajaan yang lebih mudah, telus dan sistematik kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan pembayaran digital dalam sector kewangan ini adalah seiring dengan transformasi digital kerajaan sebagaimana yang telah digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau pun lebih dikenali sebagai MyDIGITAL Economy Blueprint.
MyDIGITAL merupakan satu inisiatif yang melambangkan aspirasi kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.
“Oleh itu, pelaksanaan pembayaran tanpa tunai merupakan satu keperluan masa kini bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kebolehcapaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan.
“Ia sekali gus dapat memudah dan membantu rakyat dalam membuat transaksi dengan lebih pantas dan selamat, sama ada di peringkat domestik mahupun global,” katanya.
Melalui sistem pembayaran tanpa tunai, Hui Ying berkata, ia dapat mempercepatkan proses transaksi, meningkatkan akauntabiliti dan integriti serta menjamin pengukuhan keselamatan sistem kewangan.
“Pendekatan ini mencerminkan dasar ekonomi madani yang mengutamakan kemajuan teknologi dan keterbukaan,” katanya.