
KUALA LUMPUR: Lawatan kerja Perdana Menteri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatatkan kejayaan besar dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan menarik pelaburan strategik yang lebih luas.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan pertama beliau ke luar negara tahun ini sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mencerminkan kesediaan Malaysia untuk membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan baharu khususnya dari benua Asia Barat.
“Alhamdulillah, lawatan saya ke UAE mencapai matlamat untuk memperkukuh hubungan dua hala dan persahabatan antara Malaysia dan UAE.
“Sinergi pelaburan yang terhasil juga sangat positif dan cukup membanggakan,” katanya menerusi kenyataan dalam media sosial.
Anwar turut mengumumkan beberapa kerjasama baharu yang berjaya dimeterai sepanjang lawatan tersebut.
“Antaranya adalah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang akan membuka laluan baharu dalam perdagangan serantau.

“Malaysia turut memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi dengan inisiatif untuk memperkasakan kecerdasan buatan (AI) di negara ini yang dijangka membawa manfaat besar kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan digital,” katanya.
Lawatan ini menandakan permulaan yang baik untuk Malaysia dalam mendekati rakan dagang dari Asia Barat, sekali gus membuktikan komitmen negara untuk terus menjalin hubungan erat di peringkat antarabangsa.