
KUALA LUMPUR: Malaysia memohon sebanyak 10,000 kuota haji tambahan dan akan dipertimbangkan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Jumlah kuota haji itu adalah di antara kandungan Memorandum Urusan Haji yang ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah di Jeddah, semalam.
Mohd Na’im berkata, ia menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah, khusus untuk musim haji kali ini.
Katanya, memorandum yang dimeterai tu membabitkan beberapa persetujuan, antaranya jumlah kuota haji rasmi Malaysia seramai 31,600 orang tahun ini, selain negara akan menyelesaikan semua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi, lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di tanah suci.
Selain itu katanya, Malaysia turut menyatakan persetujuan mematuhi garis panduan berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah seperti ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi .
“Alhamdulillah, menerusi kunjungan rasmi ini, kita memeterai memorandum bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Ini merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan dan TH dalam menambah baik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang untuk peningkatan kualiti perkhidmatan TH di tanah suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pertemuan rasmi ini diadakan bersempena dengan acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran Kerajaan Arab Saudi yang diadakan bermula 13 hingga 16 Januari, bertempat di Superdome, Jeddah.
Ia mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari serata negara dan turut menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Delegasi Malaysia turut diwakili Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan kanan TH.