KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan sekretariatnya memaklumkan pihak berkuasa di Malaysia serta beberapa negara lain bagi memulakan siasatan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain naturalisasi.
Dalam penghakiman bertulis yang menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), FIFA menekankan integriti dokumen rasmi adalah ‘suci’ dan sebarang pemalsuan merupakan kesalahan boleh dihukum.
Selain Malaysia, FIFA turut mengarahkan makluman dibuat kepada pihak berkuasa Brazil, Argentina, Belanda dan Sepanyol.
FIFA berkata, tindakan itu penting bagi memastikan siasatan dan prosiding jenayah dapat dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Arahan terbaharu ini hadir sebulan selepas Ramkarpal Singh (DAP) meminta polis membuka siasatan terhadap dakwaan FIFA mengenai FAM mengemukakan dokumen palsu dalam proses naturalisasi tujuh pemain tersebut.
Ramkarpal yang juga bekas timbalan menteri undang-undang berkata, polis perlu memanggil pemain serta pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang terbabit kerana isu itu telah menjejaskan reputasi negara.
Beliau menegaskan siasatan segera perlu dijalankan bagi menentukan kebenaran dakwaan pemalsuan serta kemungkinan berlakunya kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, khususnya berkaitan pengisytiharan palsu.
Penghakiman bertulis FIFA itu dikeluarkan dua minggu selepas badan induk bola sepak dunia tersebut menolak rayuan FAM terhadap sekatan dikenakan terhadap badan bola sepak kebangsaan serta tujuh pemain terlibat.
Hukuman itu boleh menyebabkan skuad negara kehilangan mata dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung.
FIFA sebelum ini menghukum FAM dan pemain terlibat selepas mendapati dokumen palsu dikemukakan untuk mengesahkan kelayakan pemain bagi aksi kelayakan menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
FAM dikenakan denda 350,000 franc Switzerland (RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
