
MELAKA: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka menjadi kenyataan dalam tempoh dua minggu lagi, berdasarkan bayangan diberikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata perkara itu mungkin diumumkan menjelang penghujung bulan ini.
“Tak lama lagi (akan bubar). Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, (tetapi kini) dah tinggal dua kali Jumaat saja,” katanya ketika berucap pada majlis minum pagi dan sesi ramah mesra bersama penduduk Kampung Bertam Ulu, di sini hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu Ab Rauf mempercepatkan pengumuman pembubaran DUN Melaka bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ab Rauf, sebelum ini memberi bayangan DUN Melaka mungkin dibubarkan bulan ini, sekali gus memberi laluan supaya PRN diadakan sekitar Oktober.
Penggal DUN tersebut akan tamat pada Disember 2026.







