
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalankan siasatan menyeluruh susulan kematian seorang penuntut yang mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai acara duathlon dalam program Ketahanan Komander Kesatria (KKEC), Jumaat lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, UiTM perlu mengemukakan laporan lengkap yang turut merangkumi punca kejadian serta langkah susulan yang akan diambil.
Menurut beliau, laporan awal yang diterima KPT setakat ini menunjukkan kejadian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan keadaan suhu dan haba yang terlalu tinggi ketika latihan berlangsung.
“Latihan Kesatria adalah program sedia ada yang turut dilaksanakan di universiti lain dan lazimnya membabitkan latihan intensif,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepada Pelajar Terbaik STPM 2025 di kementeriannya hari ini.
Beliau mengulas insiden seorang penuntut UiTM, Fadhlan Fakhry Solana Mohd. Fellimal, 21 meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika acara duathlon dalam program KKEC, Jumaat lalu.
Dalam kejadian sama, lapan peserta lain turut mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah kesihatan.
Dua daripada mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Jengka. Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sebelum ini, media melaporkan sembilan penuntut, terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita, mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai program berkenaan di kampus UiTM Jengka, Maran.
Zambry turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga penuntut yang meninggal dunia serta mendoakan agar peserta lain yang masih menerima rawatan diberikan kesembuhan.
“Kita doakan supaya keadaan mereka kembali pulih dan mereka dapat meneruskan pengajian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zambry memberitahu, kementerian memandang serius setiap perkara yang membabitkan keselamatan dan kebajikan pelajar yang mengikuti program seumpama itu selain mahu mengambil pengajaran daripada kejadian berkenaan supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.






