LONDON: Chelsea mengumumkan ‘perpisahan’ dengan ketua jurulatih, Enzo Maresca, dalam satu kenyataan rasmi sebentar tadi.
Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dibuat secara persetujuan bersama ketika kelab masih bersaing dalam empat kejohanan utama musim ini.
“Sepanjang tempoh Maresca di Stamford Bridge, pengendali berasal dari Itali itu mencatat kejayaan penting apabila membawa Chelsea menjuarai Liga Konferens UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.
“Chelsea menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sebahagian daripada sejarah Chelsea dan menghargai sumbangan Maresca,” ujar kenyataan itu.
Jelas kenyataan tersebut, perubahan dibuat bagi memberi peluang terbaik kepada pasukan untuk kembali ke prestasi terbaik termasuk usaha melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah.
Chelsea turut mendoakan kejayaan buat Maresca dalam perjalanan kerjaya beliau pada masa hadapan.
