KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan sebanyak 12,437 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi Ops Ambang Tahun Baharu 2026.
Operasi berkenaan dijalankan di seluruh negara bermula 9 malam semalam hingga 2 pagi hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya turut menyita 390 kenderaan dan menahan 25 individu mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Selain itu, 20 individu turut ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga individu ditahan di bawah Kanun Keseksaan dan tiga lagi di bawah lain-lain akta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata 327 pegawai kanan dan 2,460 pegawai rendah polis terlibat dalam operasi tersebut dengan kerjasama beberapa agensi luar.
“Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan 258 anggota, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) (80), Jabatan Alam Sekitar (JAS) (70), Jabatan Imigresen Malaysia (58), konsesi lebuh raya (54) serta pihak berkuasa tempatan (lapan),” ujarnya.
Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan di 240 lokasi seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang sambutan ambang tahun baharu.
