
KUALA LUMPUR : Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR), yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar turun 0.4 peratus pada November 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagaimanapun penurunan itu lebih perlahan berbanding 2.4 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2024.
Beliau berkata, sektor perlombongan turun 8.3 peratus pada November 2024, berbanding penurunan yang ketara sebanyak 17.3 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan indeks pengekstrakan petroleum mentah (-14.8 peratus).
Katanya, sektor pembuatan mencatatkan penurunan lebih kecil, 1.8 peratus berbanding penurunan 2.6 peratus pada Oktober 2024.
Jelasnya, ini sebahagian besarnya disebabkan harga yang lebih rendah dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-16.8 peratus) dan pembuatan bahan kimia & produk kimia (-5.1 peratus).
“Sementara itu, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan ketara 21.8 peratus berbanding 13.8 peratus pada bulan sebelumnya.
“Ini disokong oleh indeks penanaman tanaman kekal yang melonjak 37.7 peratus. Sektor bekalan air meningkat 6.6 peratus, manakala sektor bekalan elektrik & gas meningkat 0.9 peratus,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan DOSM hari ini.
Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 1.4 peratus pada November 2024.
Menurut beliau, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan merekodkan peningkatan 8.5 peratus, disokong terutamanya oleh indeks penanaman tanaman kekal, yang meningkat 13.6 peratus.
Katanya, sektor perlombongan pulih dengan peningkatan 5.7 peratus berbanding penurunan 2.7 peratus pada Oktober 2024.
“Ini disumbangkan oleh perubahan positif kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (14.2 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (2.7 peratus).
“Sementara itu, sektor pembuatan meningkat 0.3 peratus, peningkatan perlahan selepas penurunan sebelumnya 1.2 peratus. Ini disokong oleh indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (2 peratus) dan pembuatan produk makanan (1.9 peratus).
“Dalam sektor utiliti, sektor bekalan air mencatatkan penurunan marginal 0.2 peratus, manakala sektor bekalan elektrik dan gas turun perlahan 0.1 peratus,” katanya.