
KUALA LUMPUR : Penepatan kadar denda baharu sebanyak RM10 juta merupakan kejayaan utama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sepanjang tahun ini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu bagi meningkatkan penguatkuasaan perlindungan hidupan liar, termasuk spesies Harimau Malaya, melalui penambahan bilangan renjer komuniti kepada 1,924 orang pada 2024, dengan peruntukan berjumlah RM60 juta.
Selain itu, katanya NRES turut melaksanakan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.
“Akta ini, yang kali terakhir dipinda sejak 1974, kini menetapkan denda maksimum bagi jenayah alam sekitar dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM10 juta, selain hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun,” katanya menerusi hantaran video di Fecebook NRES.
Kenyataan itu berkenaan rumusan pencapaian pasukan NRES untuk tahun ini.
Dalam pada itu, Nik Nazmi memberitahu kira-kira 350,000 hektar kawasan di daratan dan lautan telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan baharu setakat September lalu di bawah insentif Ecological Fiscal Transfer (EFT).
“Inisiatif lain termasuk bantuan kewangan bagi kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar, yang diperkenalkan pada tahun ini.
“Setakat September, seramai 130 pemohon menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan melebihi RM410,000,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata program Penghijauan Malaysia, melalui penanaman 100 juta pokok, berjaya diselesaikan setahun lebih awal daripada jadual, dengan pokok ke-100 juta ditanam oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.