
KUALA LUMPUR: “Saya anggap ini peluang untuk membersihkan nama saya.”
Itu penegasan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berhubung tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan wang berjumlah lebih RM860 juta kepada sebuah syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi.
Jamil Khir, 65, yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai, berkata beliau akan membela diri di mahkamah dan yakin proses perundangan yang sedang berlangsung mampu memberikan keadilan terbaik kepadanya.
“Saya akan membela diri saya dalam mahkamah nanti. Saya anggap ini peluang untuk membersihkan diri (nama) saya. Ini tempat yang terbaik untuk mendapat keadilan.
“Saya percaya, mahkamah akan memberi yang terbaik (keadilan),” katanya ketika ditemui selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Jamil Khir mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga TH.
Beliau turut dibenarkan diikat jamin RM300,000.
Mengikut pertuduhan, Jamil Khir didakwa menyebabkan TH melupuskan wang milik institusi itu berjumlah RM860,308,770.51, bersamaan SAR766,060,237 (Riyal Saudi), kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd (Al-Rawda).
Jumlah berkenaan membabitkan tiga transaksi iaitu RM42,942,074 bersamaan SAR44.17 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615).
Ketika menjelaskan pertuduhan yang dihadapinya, Jamil Khir berkata kes berkenaan mempunyai kaitan dengan urusan sewaan hotel yang menurutnya merupakan perkara penting dalam pengurusan TH.
Namun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyerahkan proses pembelaan kepada mahkamah.
Kes berkenaan mendapat perhatian susulan siasatan RCI terhadap pengurusan serta urus niaga Lembaga TH, termasuk pelupusan aset dan wang institusi berkenaan.
Prosiding seterusnya akan menentukan perjalanan kes mengikut proses perundangan yang ditetapkan.




