
SHAH ALAM : Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pembelaan berjaya membuktikan remaja berkenaan tidak waras ketika kejadian, selaras dengan peruntukan Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Hakim Adlin Abdul Majid turut memerintahkan remaja itu dihantar ke hospital psikiatri untuk mendapatkan rawatan.
Peguamnya, Kitson Foong berkata, mahkamah menerima keterangan bahawa anak guamnya berada dalam keadaan tidak waras pada tarikh dan waktu kejadian.
“Mahkamah menerima hakikat bahawa penama tidak waras pada tarikh dan masa kejadian.
“Justeru, Seksyen 84 Kanun Keseksaan berjaya dibuktikan dan pihak pendakwaan gagal menyangkalnya,” katanya selepas prosiding, hari ini.
Menurut beliau, keterangan pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Ian Lloyd, turut mengesahkan remaja berkenaan menghidap skizofrenia.
Kitson menjelaskan persoalan utama yang menjadi tumpuan sepanjang perbicaraan bukanlah mengenai sama ada remaja itu melakukan perbuatan fizikal yang mengakibatkan kematian mangsa, sebaliknya keadaan mentalnya ketika kejadian berlaku.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 11 saksi, manakala pembelaan mengemukakan dua saksi iaitu remaja berkenaan dan Dr. Ian Lloyd.
Dalam pada itu, Kitson berkata, hakim turut mengingatkan anak guamnya mengenai keseriusan perbuatan yang telah menyebabkan kehilangan satu nyawa.
Mahkamah mengingatkannya supaya tidak sesekali mengambil mudah kebebasan dan peluang kedua yang diberikan kepadanya serta sentiasa mengingati nyawa yang telah diragut.
Remaja terbabit akan ditempatkan di hospital psikiatri untuk menerima rawatan termasuk pemberian ubat dan kaunseling.
Penilaian lanjut akan dijalankan bagi menentukan tahap kesediaannya sebelum sebarang pertimbangan dibuat mengenai kepulangannya ke dalam masyarakat.





