
KUALA LUMPUR: Semua kru operasi aktif AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia didapati negatif dadah menerusi saringan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada protokol kesihatan dan keselamatan syarikat penerbangan berkenaan.
AirAsia Group dalam kenyataan hari ini memaklumkan saringan itu membabitkan semua kru operasi aktif, termasuk juruterbang dan kru kabin kedua-dua syarikat penerbangan terbabit.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Kapten Suresh Bangah berkata, semua juruterbang dan kru kabin tertakluk kepada syarat kesihatan yang ketat, termasuk ujian dadah dan alkohol secara berkala.
Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada rangka kerja keselamatan yang ditetapkan kumpulan berkenaan bagi memastikan setiap kru operasi berada dalam keadaan sesuai untuk menjalankan tugas.
“Keselamatan adalah asas kepada segala-galanya di AirAsia dan kami tidak bertolak ansur terhadap penggunaan dadah.
“Saringan ini memastikan semua kru operasi layak menjalankan tugas masing-masing dengan selamat dan profesional,” katanya.
Beliau berkata, AirAsia akan terus mengekalkan piawaian kesihatan dan keselamatan yang ketat dalam seluruh operasinya, selaras dengan keperluan kawal selia yang ditetapkan serta amalan terbaik industri penerbangan.
Saringan berkenaan mencerminkan komitmen syarikat penerbangan itu untuk memastikan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam pengendalian operasi dan perkhidmatan kepada penumpang.






