
PUTRAJAYA: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim, dipaksa menandatangani proklamasi berkaitan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan berhubung perkara itu masih berjalan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan masih lagi dalam progres. Kalau ada kemajuan, seperti biasa kita akan kongsi dengan rakan media,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Sebelum ini, Ismail menegaskan dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Tuanku Muhriz yang beliau tandatangani dan tular, dibuat tanpa kerelaan hatinya.
Sekretariat Undang Yang Empat turut mengeluarkan kenyataan berkaitan Sidang Khas Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Kenyataan itu ditandatangani mereka yang mendakwa masih menjadi Undang Luak sah, iaitu Datuk Mubarak Thahak (Sungei Ujong), Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Abdul Rahim Yasin (Rembau), selain Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Al-Qadri dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abd Khalid.
Mereka menuntut pentadbiran kerajaan negeri Sembilan, khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, mematuhi proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz didakwa ditandatangani Ismail, di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.




