
KUALA LUMPUR: Dari padang bola ke pembinaan sebuah negara, perjalanan bola sepak Malaysia menyimpan lebih daripada kisah kemenangan dan kekalahan.
Landskap bola sepak negara menjadi cerminan semangat, patriotisme dan perpaduan rakyat yang dikongsi bersama segenap lapisan masyarakat.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, perkara itu diterjemahkan menerusi Pameran Bola Merdeka: Satu Inspirasi.
Beliau berkata pameran sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 dan Hari Malaysia 2026 itu bukan sekadar mengetengahkan sejarah bola sepak negara tetapi membuka perspektif baharu mengenai perjalanan pembinaan negara menerusi lensa sukan.
“Di sebalik koleksi yang dipamerkan, tersimpan kisah tentang sebuah negara yang membina identiti, sebuah masyarakat mencari titik persamaan dan sebuah bangsa sedang menyemai semangat kebangsaan.
“Bola sepak menjadi titik mula untuk memahami bagaimana sukan boleh memainkan peranan dalam pembinaan identiti nasional, penyatuan rakyat dan pengukuhan semangat patriotik.
“Perlawanan bola sepak bukan hanya mengenai kemenangan atau kekalahan malah turut menggambarkan bagaimana rakyat belajar untuk berdiri, bersorak dan berbangga bersama sebagai sebuah negara,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis perasmian Pameran Bola Merdeka: Satu Inspirasi di sini hari ini.
Haslina menambah, bola sepak merupakan ruang yang dekat dengan rakyat dalam menterjemahkan semangat kebersamaan kerana setiap pemain mempunyai peranan berbeza, namun bergerak sebagai satu pasukan untuk mencapai matlamat sama.
“Nilai seperti kerjasama, disiplin, kepercayaan, sikap saling menghormati dan kesanggupan berkorban demi kepentingan bersama turut menjadi asas dalam pembinaan negara bangsa.
“Apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang bersatu menyokong pasukan yang membawa nama Malaysia, perbezaan dapat diketepikan dan digantikan dengan satu identiti yang dikongsi bersama,” ujarnya.

Dalam konteks itu, beliau menambah, patriotisme tidak seharusnya terhad kepada mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu kebangsaan tetapi turut diterjemahkan menerusi penghargaan terhadap sejarah, penghormatan kepada kepelbagaian serta tanggungjawab bersama membina masa depan negara.
Katanya, pameran berkenaan bukan sekadar tentang bola sepak tetapi bagaimana bola sepak menjadi sebahagian daripada sejarah perjuangan, kemerdekaan, pembentukan identiti kebangsaan dan penyatuan rakyat Malaysia.
Antara koleksi menarik yang dipamerkan termasuklah Trofi Piala FA Malaysia Edisi Kedua, Pingat Johan Piala Malaysia 2015, Blazer Rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) milik Zulkifli Norbit dan Jaket Pasukan Malaysia yang pernah dipakai oleh Allahyarham Datuk Mohd Mokhtar Dahari pada tahun 1974.
Selain itu, terdapat juga bola sepak kulit vintaj dan kasut bola sepak vintaj era 1960-an yang ditandatangani oleh mendiang Robert Choe serta pelbagai lagi koleksi yang menarik.
Sepanjang pameran berlangsung, elemen interaktif dan teknologi digital juga dimasukkan sebagai sebahagian pameran bagi memberi pengalaman lawatan yang lebih mengujakan, informatif dan mesra pengunjung.
Ia dibuka kepada pengunjung secara percuma bermula 31 Ogos sehingga 31 Disember di Galeri 1, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.








