
SEPANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuka 20 pejabat pengeluar pasport terpilih di seluruh negara pada Sabtu dan Ahad, bagi mengatasi kesesakan kaunter bermula 1 Februari sehingga keadaan terkawal.
Pejabat pengeluar pasport yang dibuka pada hujung minggu itu ialah Menara Ikhlas, Putrajaya; Jalan Duta, Kuala Lumpur; Wangsa Maju; Shah Alam; Kelana Jaya; Kajang; Puchong; Setia Tropika; Johor Bharu; Kulai; Seberang Jaya; Pulau Pinang; Pelabuhan Klang; Kuala Selangor; Kuala Kubu Baru; Melaka; Muar; Kluang; Batu Pahat; Taiping; Teluk Intan dan Kulim, Kedah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pemohon boleh memilih sama ada untuk terus ke kaunter JIM bagi urusan pembaharuan pasport atau membuat permohonan secara dalam talian.
Beliau berkata, bagi pemohon yang berhasrat memohon pasport pada hujung minggu mereka digalakkan terus ke kaunter JIM yang dibuka, manakala mereka yang memohon pada Isnin hingga Jumaat, digalakkan membuat permohonan secara dalam talian.
“Saya mengambil maklum akan keluhan rakyat berkaitan isu kesesakan pejabat pengeluar pasport. Inisiatif ini adalah antara langkah proaktif bagi mengatasi masalah ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat pengeluar pasport Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Saifuddin berkata, sepanjang tahun lalu, JIM mengeluarkan sebanyak 2,574,435 pasport iaitu peningkatan 25 peratus berbanding jumlah yang dikeluarkan pada 2019 iaitu 2,006,208.
Katanya, sejak awal bulan ini sehingga Selasa lalu, JIM melulus dan mengeluarkan sebanyak 156,711 pasport.
“Sebagai perbandingan, secara purata JIM mengeluarkan 210,000 pasport setiap bulan dengan pengeluaran harian sebanyak 10,000 pasport,” katanya.
Dalam pada itu, kaunter itu akan dibuka bermula 8 pagi sehingga 12.30 tengahari, manakala semua pejabat yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka hingga jam 7 malam setiap hari, selain dibuka hingga jam 5 petang pada Sabtu dan Ahad.
Pejabat yang beroperasi di UTC Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, dibuka sehingga jam 5 petang pada Jumaat dan Sabtu.