
JOHOR BAHRU: Seorang warga emas didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi tuduhan mencederakan kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin, mengenakan denda itu selepas tertuduh, Koh Soon Hua, 60, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Suzaini Mohd Taib di PUSPAKOM dekat Jalan Bertam 23 di sini, kira-kira jam 5.40 petang, 18 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, memohon hukuman ringan dengan alasan tidak lagi bekerja dan hidup ditanggung anak lelakinya, selain mempunyai masalah kesihatan iaitu darah tinggi.
Pada 16 Januari lalu, media melaporkan, hanya kerana lorinya gagal dalam pemeriksaan Puspakom, seorang lelaki menampar seorang kakitangan Puspakom Johor Bahru.
Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis Puspakom di Taman Daya di sini, sebelum tular dalam media sosial.