
KUALA LUMPUR: Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berkepadatan tinggi.
Dengan meningkatkan tahap liputan dan kelajuan internet, insiatif itu boleh memberi banyak kesan positif kepada masyarakat.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Kerja Keselamatan, Amanah dan Privasi, Malaysian Technical Standard Forum Berhad (MTFSB), Prof. Dr. Shahrulniza Musa berkata, menerusi JENDELA, rakyat memperoleh peluang untuk menambah sumber pendapatan mereka menerusi pelbagai cabang perniagaan.
“Menerusi internet berkelajuan tinggi, ia memudahkan rakyat untuk mencari sumber pendapatan secara dalam talian seperti ‘freelancing’, dan e-dagang.
Ketika ini, perniagaan online sudah semakin sebati dengan kehidupan harian masyarakat. Jadi, menerusi inisiatif JENDELA, taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan.
“Selain itu, akses untuk mendapatkan sumber atau maklumat berkaitan Pendidikan juga semakin mudah menerusi inisiatif berkenaan. Jika dulu, kita perlu datang sekolah, perpustakaan untuk dapatkan bahan pendidikan, kini semuanya lebih mudah dengan jaringan internet.
“Bukan setakat bahan Pendidikan yang pelbagai, kita juga berpeluang berinteraksi dengan guru dan pelajar dari seluruh dunia, sekali gus bertukar-tukar pandangan untuk menambah lagi ilmu,” katanya kepada Ceritera.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan Capaian liputan rangkaian 5G di negara ini mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk setakat Disember 2023.
Nie Ching berkata capaian itu sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam memperluas akses komunikasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata kadar penembusan akses 5G dalam kalangan rakyat juga mencatat peningkatan positif.
Dalam pada itu, Shahrulniza berkata, liputan internet yang menyeluruh juga boleh meningkatkan produktiviti perniagaan.
“Perniagaan kecil sederhana dapat beroperasi dengan lebih efisien. Mereka boleh menggunakan alat digital untuk pengurusan inventori, pemasaran dalam talian, dan komunikasi dengan pelanggan. Ini membantu meningkatkan daya saing perniagaan tempatan.
“Bila semakin sumber pendapatan rakyat meningkat, pembangunan ekonomi negara juga turut berkembang,” ujarnya.
Jelas beliau, secara keseluruhannya, JENDELA telah membawa perubahan positif yang signifikan kepada masyarakat, terutamanya dalam meningkatkan akses kepada peluang ekonomi dan pendidikan.