
TAIPING: Sekolah di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 boleh ditutup mengikut keputusan pengetua atau guru besar berdasarkan pemantauan serta nasihat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) berkaitan pengurusan kesan jerebu yang sedang berkuat kuasa, termasuk SPI yang dikeluarkan pada 2016, 2019 dan 2023.
Menurutnya, JPN dan PPD akan memantau keadaan jerebu serta bacaan IPU dari semasa ke semasa, manakala pentadbir sekolah bertanggungjawab membuat keputusan berdasarkan keadaan setempat dan nasihat yang diterima.
“Jika bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah akan menghentikan aktiviti di luar bilik darjah yang membabitkan murid dan disarankan supaya aktiviti keramaian serta sukan di luar bangunan turut ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Toyo Tyre Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini hari ini.
Beliau mengulas keadaan beberapa kawasan di seluruh negara yang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat semalam.
Kah Woh berkata, KPM sentiasa meneliti dan memantau situasi jerebu menerusi JPN dan PPD bagi memastikan kesihatan serta keselamatan murid terus terpelihara.
Katanya, JPN, PPD dan pihak pentadbir sekolah mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk membuat keputusan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan semasa.
“JPN, PPD dan pentadbir mempunyai pengalaman secukupnya untuk membuat keputusan dari semasa ke semasa serta melakukan pemantauan sepanjang masa demi kesihatan anak-anak kita,” katanya.







