
KUALA LUMPUR: Sektor perniagaan di Malaysia terus berdepan peningkatan kos, namun keadaan permintaan yang kekal stabil tanpa menunjukkan pertumbuhan berlebihan menyukarkan syarikat untuk menyalurkan keseluruhan kenaikan itu kepada pengguna.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, sekitar 80 peratus syarikat yang ditemui bank pusat mengenal pasti tekanan kos sebagai antara cabaran utama yang menjejaskan operasi mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata, hanya kira-kira separuh daripada syarikat berkenaan menjangkakan mereka mampu menaikkan harga bagi menampung kos tersebut, manakala sebahagian daripadanya dijangka hanya memindahkan kenaikan berkenaan secara berperingkat atau sebahagian sahaja.
“Hampir 80 peratus mengalami tekanan kos yang lebih tinggi. Namun, daripada 80 peratus itu, kira-kira 50 peratus berkata mereka mungkin memindahkan kos tersebut kepada pengguna,” katanya pada sidang media selepas pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026, hari ini.
Abdul Rasheed berkata, permintaan yang secara relatifnya sederhana menjadi antara faktor perniagaan berhati-hati untuk menaikkan harga.
“Permintaan masih berdaya tahan, tetapi tidak berlebihan. Oleh itu, tingkah laku penetapan harga oleh perniagaan turut dipengaruhi oleh pemindahan kos yang boleh memberi kesan kepada jualan.
“Selain itu, sokongan dasar bersasar kerajaan masih diteruskan dan ini juga akan mengurangkan pemindahan kos,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, peningkatan tekanan kos ketika ini lebih ketara di peringkat awal rantaian pengeluaran, namun kesannya terhadap harga yang ditanggung pengguna masih terkawal.
Menurut beliau, BNM akan terus memantau perkembangan harga komoditi dan makanan, terutama mengambil kira ketidaktentuan yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.
“Kita perlu melihat kesan terhadap harga komoditi dan makanan serta bagaimana perkara ini seterusnya akan mempengaruhi harga di Malaysia,” katanya.







