
KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah mengemukakan tawaran penyelesaian berhubung pampasan pengambilan tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu yang dikenali sebagai Duta Enclave kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd (SESB).
Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan, pada prosiding taksiran bagi menentukan jumlah pampasan sewajarnya kepada syarikat berkenaan di hadapan Hakim Roslan Mat Noor, hari ini.
Menurut Nurhafizza, pihaknya menerima arahan untuk mengemukakan tawaran penyelesaian daripada Kementerian Kewangan (MOF) semalam.
Bagaimanapun, katanya, cadangan penyelesaian berkenaan masih perlu mendapat kelulusan kementerian itu sebelum boleh dikemukakan kepada SESB.
“Yang Arif, dalam keadaan ini kami ingin menyelesaikan kes ini secepat mungkin, namun demi berlaku adil kepada plaintif (SESB), saya pasti mereka memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan anak guam mereka sebelum dapat memutuskan sama ada perkara ini boleh diselesaikan secara baik.
“Cadangan ini kami baru terima pada semalam daripada MOF… semua cadangan untuk penyelesaian kami perlu dapat kelulusan dahulu daripada Kementerian Kewangan,” katanya.
Susulan perkembangan itu, peguam Ira Biswas yang mewakili SESB memohon supaya prosiding berkenaan ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam.
Permohonan itu tidak dibantah pihak kerajaan.
Bagaimanapun, Hakim Roslan tidak membenarkan penangguhan berkenaan dan menegaskan bahawa walaupun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan penangguhan, kuasa itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya selepas tarikh perbicaraan ditetapkan.
Mahkamah kemudian meneruskan prosiding dengan memanggil saksi pertama pihak defendan, juruukur bertauliah Foo Gee Jen, untuk memberikan keterangan.
Gee Jen yang mempunyai pengalaman hampir 40 tahun dalam bidang berkenaan berkata, beliau diarahkan untuk menilai jumlah pampasan bagi tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu, selain menentukan nilai pasaran hartanah tersebut.
Beliau berkata, penilaian itu dibuat selaras dengan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 24 Jun 2025.
Menurutnya, pasukannya turut menjalankan perbandingan dengan menindihkan pelan ukur kerajaan bersama pelan susun atur tapak semasa bagi mengenal pasti keadaan tanah terbabit.
Hasil perbandingan itu, katanya, mendapati beberapa lebuh raya utama seperti Jalan Duta, Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Lembah Klang Baharu (NKVE) dan Lebuhraya Jalan Duta-Sungai Buloh sudah digambarkan dalam peta, walaupun lebuh raya berkenaan dibangunkan selepas 1956.
Gee Jen berkata, keadaan itu menyebabkan dokumen yang dijadikan sandaran kerajaan tidak dapat menggambarkan dengan tepat keadaan fizikal sebenar serta persekitaran tanah berkenaan pada masa berkaitan.
Pertikaian mengenai tanah Duta Enclave itu mempunyai sejarah panjang apabila SESB pada 2003 memfailkan saman terhadap kerajaan dengan mendakwa tanah terbabit diambil secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya, membuat keputusan memihak kepada SESB dan memutuskan kerajaan mengambil alih tanah berkenaan secara tidak sah, selain syarikat itu mempunyai kepentingan benefisial terhadap tanah terbabit.
Kerajaan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Pada Februari 2017, SESB sekali lagi memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan perintah supaya penghakiman Mahkamah Tinggi berkenaan dikuatkuasakan.
Mahkamah Tinggi pada Ogos 2024 mengarahkan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan memindahkan hak milik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman.
Bagaimanapun, keputusan itu kemudiannya diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.
Dalam perkembangan seterusnya, Mahkamah Rayuan pada 24 Jun 2025 membenarkan rayuan kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk mengetepikan perintah supaya tanah berkenaan dipindah milik kepada SESB.
Pada masa sama, mahkamah mengarahkan supaya pampasan dibayar kepada syarikat berkenaan dan jumlahnya ditentukan melalui prosiding taksiran di Mahkamah Tinggi dengan bantuan analisis pakar.
Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan silang SESB yang memohon supaya tanah yang terbabit dalam pengambilan balik kerajaan sejak 1956 itu dipindah milik kepada syarikat berkenaan.
Pada 13 November tahun lalu pula, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan SESB untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Pendaftar Tanah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas kira-kira 106.556 hektar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.
Tanah strategik yang terletak di kawasan Jalan Duta itu kini menempatkan beberapa aset dan bangunan penting kerajaan, antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta Masjid Wilayah Persekutuan.
Prosiding taksiran yang sedang berlangsung kini memberi tumpuan kepada penentuan jumlah pampasan sewajarnya yang perlu dibayar kepada SESB susulan keputusan mahkamah sebelum ini.
Tawaran penyelesaian yang dikemukakan kerajaan semalam pula membuka kemungkinan pertikaian berhubung pampasan tanah Duta Enclave itu dapat diselesaikan tanpa perlu prosiding berpanjangan, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan dan persetujuan pihak SESB.
Namun, pihak syarikat masih memerlukan masa untuk meneliti tawaran berkenaan dan mendapatkan arahan lanjut sebelum sebarang keputusan mengenai penyelesaian dicapai.






