
KUALA LUMPUR: Sesi soal siasat terhadap juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia, berjaya membantu polis membongkar rangkaian sindiket dadah yang beroperasi di Malaysia dan luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil pertemuan selama tiga hari itu turut membolehkan pihaknya mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam rangkaian berkenaan.
Menurutnya, sesi soal siasat yang berlangsung di Jakarta memberikan beberapa petunjuk penting kepada pasukan penyiasat, termasuk usaha menjejaki ahli sindiket yang terlibat di Malaysia.
“Perjumpaan tersebut memberikan hasil dalam beberapa aspek seperti menjejak ahli-ahli sindiket dadah yang terlibat di Malaysia serta menyalurkan maklumat penting berkaitan rangkaian sindiket dadah antarabangsa kepada agensi dadah negara-negara berkaitan.
“Kita turut mendapat tahu bagaimana penama dapat melepasi pemeriksaan di KLIA dan mengetahui aliran kewangan sindiket dalam dan di luar negara,” katanya seperti dilapor Awani.
Hussein berkata, pasukan JSJN turut menerima kerjasama baik daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) sepanjang menjalankan sesi pertemuan dan soal siasat berkenaan.
Katanya, pertemuan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Ogos itu dilanjutkan sehari lagi selepas POLRI memberikan ruang kepada pasukan penyiasat Malaysia untuk meneruskan sesi berkenaan.
“Pihak POLRI turut memberikan ruang untuk sesi pertemuan dilanjutkan sehari lagi sehingga 14 Ogos, manakala subjek juga memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pasukan penyiasat Malaysia diberikan akses oleh pihak berkuasa Indonesia bagi mengambil keterangan dan menjalankan siasatan terhadap juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta berkaitan kes penyeludupan dadah bulan lalu.
Pada 29 Julai lalu, juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan di Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah, termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram.
Lelaki berkenaan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian serta peranan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah berkenaan.







