
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan pihaknya pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mewajibkan semua penjawat awam untuk memiliki indeks jisim badan (BMI) seimbang.
Berikutan itu, JPA menafikan kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Hospital Miri, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr. Jack Wong Siew Yu pada 7 Disember lepas yang menyebut ‘JPA Wajibkan Semua Penjawat Awam Miliki BMI Sihat Mulai Tahun Depan’.
“JPA memang menggalakkan semua penjawat awam untuk melakukan saringan kesihatan kendiri termasuk mengambil ukuran berat badan dan tinggi bagi melihat status BMI dan diisytiharkan dalam sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS).
“Namun, JPA tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau arahan untuk mewajibkan semua penjawat awam memiliki BMI yang seimbang,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPA, inisiatif saringan kesihatan itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Awam (MyPPSM) Ceraian S.R 2.5.1 mengenai Perisytiharan Rekod Kesihatan bagi Membudayakan Gaya Hidup Sihat yang dikeluarkan pada 6 September 2022.
Walau bagaimana pun, JPA komited untuk bekerjasama dengan KKM dalam usaha menangani isu obesiti dalam kalangan penjawat awam dan menyokong langkah-langkah dalam meningkatkan kesihatan awam secara keseluruhannya.
JPA juga menegaskan sebarang kenyataan yang melibatkan jabatan itu perlu mendapatkan kebenaran rasmi, selain turut meminta agar jabatan itu tidak dijadikan rujukan tanpa pengesahan fakta.