
PUTRAJAYA: Terus prihatin dengan nasib rakyat Palestin, Malaysia sudah menyalurkan bantuan berjumlah RM70 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bantuan itu disalurkan melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Palang Merah.
AAKRP sehingga kini sudah berjaya mengumpulkan hasil kutipan sebanyak RM99 juta.
“Ya ada sedikit lagi (wang bantuan) dan kita akan serahkan terus kepada pihak Palestin, supaya mereka dapat membina ataupun mengurus semula infrastruktur penting, termasuk perigi yang dimusnahkan serta bantuan perubatan.
“Kedua-dua itu (perigi dan perubatan) adalah perkara yang amat diperlukan oleh penduduk Palestin dalam menghadapi musim sejuk ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Malaysia kepada Palestin di bawah Inisiatif Kerajaan Jordan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Malaysia menyerahkan sumbangan sebanyak AS$5 juta (RM22.3 juta) kepada Palestin di bawah inisiatif Kerajaan Jordan sebagai menyokong inisiatif diterajui Raja Jordan, Raja Abdullah II Ibn Al Hussein yang bertujuan meringankan penderitaan dan krisis kemanusiaan semakin meruncing di Gaza.
Sumbangan itu diterima oleh Duta Besar Jordan, Dr Ismael Maddallah Suliman Maaytah.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata tabung AAKRP itu dikendali secara telus dengan laporan kewangannya dibentangkan kepada Kabinet setiap tiga bulan.
“Tabung ini setiap tiga bulan sekali, kita laporkan kepada Kabinet. Kepada siapa kita serahkan dan berapa jumlah yang kita serahkan. Kita buat secara telus dan akaun itu boleh dilihat oleh sesiapa sahaja,” katanya.
Justeru, Mohamad berharap lebih ramai pihak akan tampil dan membantu menyalurkan sumbangan kepada tabung AAKRP dalam usaha Malaysia membantu Palestin.