
KUALA LUMPUR: Kerajaan membaik pulih dan membina 34,470 unit kediaman dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.02 billion dalam tempoh dua tahun pentadbiran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, berkata inisiatif tersebut membabitkan usaha kementeriannya dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“KPKT membaik pulih 4,814 unit rumah dan membina 245 unit rumah baharu dengan peruntukan RM104.4 juta sepanjang 2023 hingga 2024. (Sementara) KKDW pula melaksanakan baik pulih 23,458 unit rumah dan bina baharu 5,953 unit rumah dengan peruntukan RM920.4 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Kor Ming, usaha tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan miskin dan miskin tegar.
Selain itu, beliau memberitahu KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) memperkenalkan Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs) bagi memperkasakan komuniti desa.
“Melalui sistem ini, sebanyak 19,474 maklumat sempadan dan profil kampung telah dicerap.
“S-CHARMs telah diintegrasikan dengan Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional di bawah KKDW untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kemudahan asas dan infrastruktur berdasarkan data sebenar serta meningkatkan aktiviti perancangan dan pembangunan kawasan desa.
“Inisiatif ini memastikan pembangunan desa lebih sistematik dan efisien, memberikan manfaat langsung kepada penduduk luar bandar,” katanya.